KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes rasuah membabitkan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette telah memfailkan bantahan awal terhadap rayuan yang dikemukakan oleh pasangan itu.
Pada 9 Disember 2022, Bung Moktar dan isteri memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonan mereka untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas pertuduhan rasuah melibatkan pelaburan RM150 juta wang Felcra dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Berdasarkan notis yang diperoleh media, bantahan awal itu difailkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How pada 7 Mac lalu di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.
Chin How ketika dihubungi memaklumkan, Mahkamah Rayuan telah menetapkan pengurusan kes rayuan tersebut pada 22 Mei di hadapan Timbalan Pendaftar, Mohd. Khairi Haron.
Alasan utama bantahan awal tersebut ialah keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi pada 9 Disember 2022 bukanlah satu keputusan yang boleh dirayu sebagaimana yang diperuntukkan mengikut Seksyen 50 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Bung Moktar dan Zizie Izette sepatutnya mula membela diri atas pertuduhan rasuah itu pada 3 Januari lalu namun telah ditangguhkan selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pasangan itu untuk menggantung prosiding tersebut sementara menunggu rayuan.
Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob yang mendengar perbicaraan tersebut bagaimanapun bertindak ‘menyekat’ beberapa tarikh perbicaraan kerana kes itu yang didaftarkan pada 2019, diklasifikasikan sebagai kes lama.
Sambung bicara kes itu ditetapkan untuk sambung bicara selama 13 hari pada Jun dan Julai ini. Tarikh-tarikh pada bulan Jun ialah 15, 16, 26 dan 27 manakala bulan Julai pula pada 10 hingga 14 manakala tarikh lain pada 20, 21, 24 dan 25 Julai.
Pada 2 September 2022, Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan pasangan itu membela diri atas tiga tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa menerima rasuah daripada Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara pukul 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.
Bung Moktar juga didakwa menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat serupa pada 19 Jun 2015.
Pendakwaan terhadap Bung Moktar dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Zizie Izette mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.
Zizie Izette didakwa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa. – UTUSAN