Sepang: Pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023) terpaksa melupakan sementara keenakan ketupat, lemang dan rendang pada 1 Syawal nanti demi misi menakluk puncak tertinggi dunia itu.
Mengikut jadual, Azim Afif Ishak, 35, Muhammad Hawari Hashim, 33, Awang Askandar Ampuan Yaacub, 55, dan Tiong Ling Yang (Vincent), 30,
dijangka menyambut Aidilfitri di Everest Base Camp (EBC).
Empat pendaki itu akan berlepas ke Kathmandu, Nepal malam ini dan memulakan misi ME 2023 sehingga 2 Jun depan.
Azim Afif yang juga ketua misi berkata, dia bersama dua pendaki lain, Muhammad Hawari dan Awang Askandar pernah merasai pengalaman beraya di EBC ketika misi pertama tahun lalu.
“Tahun ini juga tiada ketupat, lemang dan rendang dan yang ada hanyalah biskut kering sebagai juadah di pagi raya.
“Pengalaman menyambut Aidilfitri di EBC adalah sesuatu yang menyedihkan kerana terpaksa berjauhan dengan keluarga, namun demi misi kami lupakan perasaan itu,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.
Katanya, misi kali ini bakal menjadi cabaran buatnya kerana jika berjaya ia akan menjadi rekod peribadi kedua menakluk puncak tertinggi itu.
Azim berkata, mereka bertolak awal bagi membuat persedian dan menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di EBC sebelum memulakan misi pada pertengahan Mei ini.
Menurutnya, misi kali ini diawalkan bagi mengelak sekali lagi berhadapan dengan faktor cuaca di luar jangkaan seperti berlaku tahun lalu.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia dan semua pihak yang terbabit dalam menjayakan misi ini dan pada masa sama memohon doa serta sokongan dari rakyat Malaysia agar misi ini berjaya.
Sementara itu, Vincent berkata, semangat untuk menakluk semula Everest tidak pernah luntur biarpun gagal menawan puncak itu tahun lalu disebabkan faktor cuaca.
“Ketika itu, kami berdepan angin kencang disusuli ribut salji mencecah 50 kilometer (km) hingga 70 km per jam iaitu di 7,600 dari aras laut dan hanya memerlukan 16 jam untuk tiba di puncak,” katanya.
Misi ini turut mendapat sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan ia sangat unik kerana menonjolkan semangat perpaduan Malaysia MADANI dari kalangan pelbagai bangsa. – UTUSAN