Pencapaian STAM 2022 meningkat

Pencapaian STAM 2022 meningkat

FADLINA Sidek mengumumkan keputusan STAM 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2022 menunjukkan peningkatan dengan gred purata nasional adalah 3.13 berbanding pada tahun sebelumnya iaitu 3.15.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, perkembangan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.02 peratus berbanding 2021.

Katanya, gred purata sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia pula adalah 2.91 berbanding tahun 2021 iaitu 2.92 iaitu peningkatan sebanyak 0.01.

“Pencapaian peperiksaan STAM bagi sekolah Kementerian Pendidikan menunjukkan kualiti lebih baik. Malah kami percaya kejayaan itu hasil usaha semua pihak dalam meningkatkan kualiti pengajaran guru, penyediaan kemudahan bilik darjah yang kondusif, bekalan buku teks dan lain-lain keperluan yang menyokong proses pembelajaran murid,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STAM Tahun 2022 di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Rahimah, Banting, dekat sini hari ini.

Katanya, calon peperiksaan STAM Tahun 2022 yang berdaftar adalah 4,634 orang meliputi calon sekolah kementerian seramai 1,363 orang; sekolah menengah agama negeri (1,941 orang); sekolah menengah agama rakyat (259 orang); sekolah menengah swasta (36 orang) dan calon persendirian (1,035 orang).

Fadhlina berkata, sijil peperiksaan STAM bukan sahaja diiktiraf untuk kemasukan ke program Ijazah Pertama di Universiti Al Azhar Al Sharif, Mesir tetapi untuk kemasukan ke universiti tempatan.

“Sijil STAM turut mendapat pengiktirafan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, iaitu setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia. Ini bermakna pemegang sijil STAM layak memasuki pekerjaan dalam sektor perkhidmatan awam seperti pemegang sijil STPM,” katanya.

Justeru, beliau sangat menyokong dan menggalakkan murid-murid yang berminat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang agama di Timur Tengah,khususnya di Universiti Al- Azhar Al Sharif mahupun universiti tempatan, untuk meneruskan hasrat mereka tanpa ragu kerana hala tuju dan laluan masa hadapan yang cerah sedia menanti.

STAM merupakan sijil dikeluarkan Kementerian Pendidikan melalui sistem peperiksaan yang menggunakan sepenuhnya bahasa Arab sebagai bahasa pengantar dalam peperiksaan. 

 Calon-calon STAM diuji berdasarkan kurikulum Ma’ ahad Bu’ uth Al-Islamiah Al-Azhar, Mesir dalam bidang ilmu agama, al-Quran, Hadis, dan bahasa Arab. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN