Penarik beca terharu tidak tersisih daripada bantuan - Utusan Malaysia

Penarik beca terharu tidak tersisih daripada bantuan

AHMAD ZAKIYUDDIN Abdul Rahman (tiga dari kanan) dan Mohamed Shaifudeen Mohamed Sirajudeen (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penarik beca, pusat tahfiz dan anak-anak yatim di pekarangan Masjid Kapitan Keling, George Town, Pulau Pinang hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Seramai 60 orang penarik beca di sekitar pusat bandar di sini tidak dapat menyembunyikan kegembiraan selepas menerima sumbangan sempena Hari Raya Aidilfitri daripada SMS Deen Jewellers di pekarangan Masjid Kapitan Keling, di sini hari ini.

Selain penarik beca, SMS Deen Jewellers turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai serta beg makanan kepada empat pusat tahfiz serta sebuah pusat anak-anak yatim di negeri ini.

Seorang penarik beca, Awang Man, 75, berkata, dia amat bersyukur dengan bantuan tersebut kerana sepanjang bulan Ramadan ini pendapatannya sebagai penarik beca tidak menentu.

“Saya telah berusia jadi memang kudrat untuk mengayuh beca sudah kurang terutama pada bulan Ramadan ini.

”Saya bersyukur dan berterima kasih kepada SMS Deen kerana memilih penarik beca dan memberi bantuan yang dapat mengurangkan beban kami,” katanya ketika ditemui pada program itu hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SMS Deen Jewellers, Mohamed Shaifudeen Mohamed Sirajudeen dan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Seorang lagi penarik beca, Dahlan Ahmad,70, berkata, dia tidak dapat mengayuh beca sepanjang bulan Ramadan tahun ini kerana faktor kesihatan yang tidak mengizinkan.

”Sepanjang Ramadan ini saya terpaksa berehat daripada mengayuh beca kerana diserang sesak nafas, jadi saya memang tiada pendapatan.

”Saya amat hargai bantuan yang diberikan hari ini, sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kewangan saya,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Shaifudeen
berkata, program tersebut merupakan salah satu program khidmat masyarakat (CSR) pihaknya bagi membantu golongan memerlukan khususnya pada musim perayaan ketika ini.

”Jumlah keseluruhan nilai bantuan hari ini ialah RM10,000 dan kami berharap bantuan ini dapat menceriakan sambutan hari raya buat para penarik beca, anak-anak tahfiz dan anak yatim di negeri ini.

”Sebelum ini program yang sama diadakan di Kuala Lumpur, namun tahun ini kami pilih Pulau Pinang sebagai lokasi program untuk meluaskan sumbangan kami kepada mereka yang memerlukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya