Pemilik rugi puluhan ribu, kedai besi buruk terbakar

Pemilik rugi puluhan ribu, kedai besi buruk terbakar

ANGGOTA bomba membuat pemeriksaan ke atas longgokan barangan lusuh dan besi buruk yang diletakkan di kawasan terbuka sebuah premis kitar semula yang terbakar di Tupah, Merbok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERBOK: Pemilik sebuah kedai kitar semula mengalami kerugian mencecah puluhan ribu ringgit apabila pelbagai barangan lusuh dan besi buruk yang tersedia untuk dijual kepada pemborong musnah akibat kebakaran di Tupah, di sini malam tadi.

Pemiliknya yang enggan dikenali berkata, kesemua barangan yang dikumpul lebih dua minggu itu sepatutnya telah dihantar kepada pemborong tetapi disebabkan berdepan masalah pengangkutan, urusan jualan tidak dapat dilakukan.

Menurutnya, pelbagai barangan lusuh dan besi buruk yang terdapat di dalam premis kedai dan yang dilonggokkan di kawasan terbuka di hadapan premis musnah terbakar dalam kejadian pukul 9.40 malam.

Katanya, kejadian disedari oleh seorang pengawal yang bertugas di kawasan berkenaan semasa dia sedang membuat rondaan, sebelum bertindak menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Sementara itu, Komander Operasi JBPM, Pegawai Bomba Kanan II, Muhammad Aslan Yusuf berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kedah menerima panggilan melalui talian MERS 999 berkaitan kejadian itu pada pukul 9.44 malam.

“Dua buah jentera, sebuah lori tangki, sebuah van EMRS bersama 14 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi bagi melakukan kerja pemadaman.

“Sebaik sampai kita dapati 50 peratus premis kedai berkeluasan 30×10 meter persegi dan pelbagai barangan lusuh dan besi buruk di luar premis kedai terbakar. Kerja-kerja mengawal dan memadam api berjaya dilaksanakan dan tiada mangsa dilaporkan cedera,” katanya.

Tambah Muhammad Aslan, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihaknya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya