KUALA TERENGGANU: Kerja-kerja pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu kini mencapai tahap 55.21 peratus iaitu mengikut jadual kerja yang dirancang setakat ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, tahap kemajuan keseluruhan projek ECRL sejauh 665 kilometer yang merangkumi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor pula adalah sebanyak 40.81 peratus.
“Jajaran ECRL di negeri Terengganu iaitu kira-kira 275 kilometer (km) adalah yang terpanjang di antara keempat-empat negeri yang direntasi ECRL.
“Projek pembinaan jajaran yang bermula dari Kota Bharu, Kelantan dan berakhir di Pelabuhan Klang, Selangor dijangka siap mengikut jadual yang ditetapkan iaitu pada akhir tahun 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Bersama ECRL yang dianjurkan oleh MRL dan China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd. (CCC-ECRL) di sini kelmarin.
Seramai 20 anak yatim dan kakitangan dari Asrama Puteri Pra Tahfiz Perkaya Kuala Terengganu di Kampung Kubang Parit dekat sini turut diraikan dalam majlis tersebut.
Darwis memberitahu, jajaran ECRL di negeri ini turut melibatkan pembinaan enam buah stesen utama.
Katanya, stesen Jerteh di Besut, Bandar Permaisuri (Setiu), Kuala Terengganu dan Kemasik (Kemaman) telah ditetapkan sebagai stesen penumpang manakala stesen Dungun dan Chukai di Kemaman adalah stesen untuk penumpang dan kargo.
“Jajaran ECRL sepanjang 665km itu bermula dari Kota Bharu, Kelantan dan berakhir di Pelabuhan Klang, Selangor.
“ECRL akan menjimatkan masa perjalanan dan menghubungkan Kota Bharu dengan Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak, iaitu pintu masuk utama ke Kuala Lumpur dalam masa empat jam berbanding tujuh jam melalui jalan raya biasa.
“Sehubungan itu, ECRL dijangka menghubungkan Kuala Terengganu dengan ITT Gombak dalam anggaran 2.5 jam apabila beroperasi kelak,” katanya. – UTUSAN