Pemangku Raja Perlis sempurnakan Sambutan Ulang Tahun Ke-100 OFA

Pemangku Raja Perlis sempurnakan perasmian Sambutan Ulang Tahun Ke-100 OFA

OFA
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian Sambutan Ulang Tahun ke-100 The Old Frees' Association (OFA) yang diadakan di The OFA Building, Jalan Sultan Ahmad Shah, Georgetown, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian Sambutan Ulang Tahun Ke-100 The Old Frees’ Association (OFA) yang diadakan di The OFA Building, Jalan Sultan Ahmad Shah, Georgetown, Pulau Pinang.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Presiden OFA, Andrew Lim Chong Huat; Presiden OFA Kuala Lumpur dan Selangor, Ivan Ooi Jieun Vei; dan Setiausaha Kehormat OFA, Alex Tan Hee Aik.

Majlis turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran kira-kira 50 orang tetamu terdiri daripada bekas-bekas Presiden serta kepimpinan OFA.

Kemuncak majlis ialah apabila Tuanku Pemangku Raja berkenan melancarkan plaka khas yang telah ditandatangani oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di sisi pintu masuk utama bangunan OFA tersebut.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dalam titah Baginda memuji pasukan pancaragam sekolah tersebut yang membariskan para peserta daripada pelbagai kaum dan semangat perpaduan sebegini mesti dikekalkan malah ditambahbaik di masa hadapan.

Baginda juga mencadangkan agar inisiatif baru melalui program penghantaran beberapa pelajar dari Perlis ke Penang Free School setiap tahun melalui kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan Yayasan PFS supaya dapat dipertimbangkan.

Dalam ucapan alu-aluan beliau terdahulu daripada itu pula, Andrew Lim menyembah maklum bahawa “Kekuatan OFA terletak pada perpaduan, diikat oleh rasa kesetiaan ahli-ahlinya. Sebagaimana pengasas kita bersatu seratus tahun yang lalu untuk membina sesuatu yang hebat, begitu juga kita harus terus bekerjasama untuk memastikan persatuan kita ini kekal dan memberi banyak kebaikan pada tahun-tahun mendatang”.

Tambahnya lagi, “Kita haruslah berganding bahu untuk terus melahirkan cendekiawan, ahli sukan dan tokoh-tokoh akademik dan terus menjadi produk terbaik Penang Free School”.

Dalam majlis tersebut juga, kapsul masa yang diisi dengan memorabilia, gambar dan mesej ditanam di dalam kawasan rumah kelab oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra bagi mewakili Tuanku Syed Sirajuddin dan bakal dibuka kembali selepas 50 tahun nanti iaitu pada 2073.

Para hadirin turut dihiburkan dengan persembahan istimewa oleh Pancaragam Penang Free School.

Sebagai rekod, Keluarga DiRaja Jamalullail Perlis mempunyai tradisi tiga susur galurnya adalah alumni sekolah Inggeris tertua di Asia Tenggara tersebut iaitu Almarhum Tuanku Syed Putra, Tuanku Syed Sirajuddin sendiri dan juga Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail setakat ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya