PETALING JAYA: Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat untuk mengadakan Lawatan Perdana ke World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) pada petang semalam.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengurusan Tertinggi WTCKL yang diketuai oleh Datuk Seri Irmohizam Ibrahim selaku Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL.
Dalam lawatan itu Irmohizam telah memberi penerangan mengenai WTCKL termasuk sejarah dan rancangan masa depan dalam industri acara perniagaan.
“Saya berharap dengan keberangkatan Pemangku Raja Perlis ke WTCKL ini dapat menyerikan lagi suasana di WTCKL.
“Saya juga berharap untuk menyampaikan mesej kepada Pemangku Raja Perlis tentang betapa pentingnya industri acara perniagaan yang merupakan salah satu industri yang menyumbang kepada ekonomi negara,” kata Irmohizam.
WTCKL pernah menjadi tuan rumah kepada beberapa acara utama antaranya Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF) 2023, yang telah mencecah rekod seramai 671 pempamer dari 11 negara dan merupakan pameran perabot yang terbesar di Asia Tenggara.
Selain itu, Ekspo Penyelesaian Runcit Malaysia (RESONEX) yang mempamerkan teknologi dan produk penyelesaian runcit yang mendapat penyertaan wakil dari negara-negara luar.
WTCKL sangat komited untuk menerajui acara perniagaan di Malaysia yang dijangka akan menarik 5.9 juta delegasi dan menyumbang kepada impak ekonomi sebanyak anggaran RM42.12 bilion serta mewujudkan kira-kira 25,833 peluang pekerjaan pada tahun 2023.
Ketika di WTCKL Tuanku Pemangku Raja turut meluangkan masa melawat galeri lukisan. – UTUSAN