TANJUNG MALIM: Pemandu lori yang dipercayai melarikan diri selepas menyebabkan kemalangan maut dua remaja perempuan di Kilometer 121, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Kampung Kelawar di sini bulan lalu, diberkas polis semalam.
Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan pada pukul 11.57 malam oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, Melaka.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd. Hasni Mohd. Nasir berkata, berdasarkan soal siasat, suspek mengaku menyebabkan kemalangan itu ketika membuat pusingan U di lokasi kejadian.
Katanya, ekoran nahas tersebut, suspek telah menghantar notis berhenti kerja 24 jam sehari selepas kejadian meragut nyawa penunggang dan pembonceng motosikal itu.
“Sebuah lori tangki telah dirampas di Kerling, Selangor. Pemeriksaan pada kenderaan itu mendapati terdapat kesan bengkok dan cat tertanggal pada besi penghadang di tengah lori.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah. Suspek direman sehingga Isnin ini di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Dalam kejadian sekitar pukul 11 malam pada 29 Mac lalu, Mimi Nurwaheeda Nor Kamar Hisham, 19, dan sepupunya, Nur Nabila Rosdi, 19, maut selepas motosikal ditunggang mereka merempuh sebuah lori yang disyaki membuat pusingan U.
Ketika kejadian, motosikal jenis Yamaha Lagenda 115Z yang ditunggang dua remaja terbabit dalam perjalanan dari Hulu Bernam menghala ke Slim River.
Mimi Nurwaheeda maut di tempat kejadian akibat parah digilis manakala Nur Nabila meninggal dunia di Hospital Slim River. – UTUSAN