Pemandu bas 'main telefon' ketika memandu ada 12 saman lampau

Pemandu bas ‘main telefon’ ketika memandu ada 12 saman lampau

TANGKAP layar video pemandu bas memandu sambil menggunakan telefon tular di media sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pemandu bas yang videonya tular selepas memandu sambil menggunakan telefon bimbit sudah diberikan notis saman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, siasatan juga mendapati, pemandu itu turut memiliki 12 kesalahan jalan raya lampau.

Beliau berkata, JPJ menerusi Unit Pemeriksaan & Kawalan Kenderaan Perdagangan (UPKKP), Pulau Pinang sudah mengambil tindakan terhadap pemandu itu.

“Kami mengeluarkan notis saman, Notis JPJ P22, ke atas pemandu berkenaan atas kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Ipoh.

“Siasatan juga mendapati, pemandu yang membawa bas bernombor pendaftaran ALM 9815 itu adalah milik sebuah syarikat yang beroperasi di Butterworth, Pulau Pinang,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, beliau ingin menegaskan bahawa tindakan memandu sambil menggunakan telefon bimbit adalah kesalahan serius dan berbahaya kerana boleh mendatangkan risiko kemalangan jalan raya.

Zailani berkata, pemandu bas berkenaan juga bakal berdepan tindakan penggantungan lesen memandu.

Dalam pada itu, katanya, beliau menasihati kepada syarikat pengangkutan supaya memantau rapi pemandu kenderaan masing-masing supaya lebih berhemah dan beretika ketika memandu.

“Orang awam juga boleh menjadi ‘mata dan telinga’ kepada JPJ dan boleh menyalurkan sebarang aduan berhubung kesalahan di jalan raya dengan menggunakan Aplikasi MyJPJ melalui menu e-Aduan@jpj atau [email protected],” katanya.

Sebelum ini, video pemandu bas berkenaan sambil menggunakan telefon tular di media sosial khususnya di aplikasi TikTok sejak semalam.

Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim turut meminta pemandu itu supaya tampil menyerah diri.

Pemandu bas itu bagaimanapun sudah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, hari ini bagi membantu siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya