Pelantikan Abdul Azeez sebagai Pengerusi KEDA diteliti semula - Anwar - Utusan Malaysia

Pelantikan Abdul Azeez sebagai Pengerusi KEDA diteliti semula – Anwar

ANWAR Ibrahim mengunjungi Bazar Ramadan Taman Jati di Meru, Ipoh hari ini. - UTUSAN//MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pelantikan bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang diumumkan sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) baru-baru ini akan diteliti semula.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO mengenai perkara itu.

“Saya akan berbincang dengan Presiden UMNO, Ahmad Zahid mengenai salah satu pengumuman (tetapi) belum dihantar surat (pelantikan rasmi GLC), termasuk cadangan (Abdul Azeez) Pengerusi Keda akan kita teliti semula, jadi belum ada pelantikan (Pengerusi Keda),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Sumbangan Rahmah di Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Bandar Meru Raya di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sebelum ini, Ahmad Zahid mengumumkan pelantikan Abdul Azeez sebagai Pengerusi KEDA yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang memegang jawatan itu sebelum ini.

Sementara itu, mengenai Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang membidas Kerajaan Perpaduan kerana melantik beberapa pemimpin politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Anwar berkata, pelantikan itu bukan dibuat terhadap syarikat tersenarai di bursa saham.

Menurutnya, lagipun pelantikan tersebut berdasarkan kelayakan.

“Kalau dia ada kelayakan kita akan lantik dan telah pun dilantik berdasarkan kelayakan, seperti ada akauntan, peguam  tapi syarat-syaratnya kita ketatkan.

“Jadi jangan andaikan GLC itu seperti mana yang pernah berlaku sebelum ini. Kita syaratkan dia jalankan tanggungjawab, dia tak boleh belanja lebih daripada yang ditentukan dan elaun-elaun pun kita hadkan, mengikut kelayakan masing-masin,” katanya.

Sebelum ini Bersih membidas Kerajaan Perpaduan kerana melantik beberapa pemimpin politik dalam GLC yang bercanggah dengan pendirian kerajaan sebelum ini.

Antara yang dilantik dalam GLC ialah bekas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dilantik semula sebagai Pengerusi FELCRA dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi MARA, agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya