KUALA PILAH: Peningkatan harga makanan ketika ini susulan meningkatnya harga barang mentah memberi kesan kepada jualan pengusaha produk makanan salai di sekitar Terachi di sini.
Salah seorang daripada mereka, Normah Lawati Abu Bakar, 51, berkata, sejak awal Ramadan lalu, dia mengalami kesukaran mendapatkan pelanggan yang datang ke gerainya untuk membeli produk salai.
Kekurangan pelanggan itu jelasnya, paling dirasai ketika hari biasa dan meningkat pada hujung minggu.
“Selepas ada peningkatan harga barang mentah, saya perhatikan pelanggan semakin kurang. Saya hanya berani menyalai lima hingga enam ekor itik dan meningkat kepada 10 ekor pada hujung minggu.
“Tahun ini seperti lengang, dahulu saya boleh menjual sebanyak 30 hingga 40 ekor seminggu namun kini tidak lagi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, ekoran situasi itu, dia juga terpaksa mengehadkan pembelian ayam dan itik daripada pihak pembekal bagi mengelakkan kerugian.
Seorang lagi penjual produk salai, Rohaidi Norman, 47, mengakui gerainya hanya menjadi tumpuan pelanggan pada hujung minggu.
“Mungkin kebetulan mereka melalui jalan ini untuk pulang ke kampung atau menghantar anak ke asrama atau kolej jadi mereka singgah dan membeli.
“Bagi bekalan pula kadangkala ada masalah khususnya ayam kampung tetapi saya mempelbagaikan produk dengan turut menjual ikan keli salai, itik salai dan produk salai lain,” katanya.
Jelasnya, seekor itik salai yang kebiasaannya seberat 2.1 kilogram dijual pada harga RM45 seekor manakala daging salai dijual RM55 bagi sekilogram dan ikan keli salai dijual RM15 bagi empat ke lima ekor. – UTUSAN