HONG KONG: Pelakon dan pelawak veteran Hong Kong, Richard Ng meninggal dunia akibat menghidap pelbagai penyakit selain faktor usia di negara itu, pada Ahad.
Mendiang menghembuskan nafas terakhir ketika berumur 83 tahun dan meninggalkan seorang balu, Susan dan empat anak, Alex Ng, Zoe Ng, Louise Ng dan Carl Ng.
Pada 2019, Richard memberitahu buah pinggangnya hanya berfungsi 10 peratus dan perlu menjalani dialisis empat kali sehari.
Walaupun menderita kesakitan, dia tetap kuat meneruskan karier lakonan kerana tidak mahu masalah tersebut menghalang minatnya.
“Saya tidak mahu hilang minat berlakon disebabkan masalah ini kerana berlakon adalah kebahagiaan hidup saya,” kata mendiang sebelum ini.
Richard yang membintangi sitkom komedi sekitar 1970 hingga 1980an meninggalkan memori mendalam buat rakyat Hong Kong serta dikenali oleh penonton luar negara.
Mendiang dilahirkan dan dibesarkan di Hong Kong sebelum berhijrah ke United Kingdom pada usia 15 tahun.
Richard yang asalnya mengikuti pengajian pergigian akhirnya menukar minatnya terhadap pengajian filem.-AGENSI