Pelajar Unimap 'berbuka' percuma sepanjang Ramadan - Utusan Malaysia

Pelajar Unimap ‘berbuka’ percuma sepanjang Ramadan

PARA pelajar Unimap berbuka puasa secara percuma sepanjang Ramadan hasil daripada inisiatif kakitangan Unimap yang mengumpul sumbangan sesama mereka dan bergotong-royong menyediakan juadah berbuka di PIMPIN, kampus Alam Unimap, Arau, Perlis semalam.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Para kakitangan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) mengambil inisiatif terpuji mengumpul duit sesama mereka bagi menyediakan juadah berbuka puasa kepada kira-kira 19,500 pelajar universiti tersebut sepanjang bulan Ramadan.

Sumbangan daripada seluruh kakitangan tersebut berjaya dikumpul sebanyak RM30,000 selain dana daripada syarikat luar sebanyak RM25,000 bagi membeli keperluan bahan memasak untuk manfaat pelajar terbabit yang tidak perlu lagi mengeluarkan perbelanjaan untuk berbuka sepanjang bulan penuh keberkatan itu.

Lebih menarik, kira-kira 600 kakitangan serta 150 sukarelawan terdiri daripada pelajar universiti itu bergilir-gilir bergotong-royong menyediakan juadah berbuka tersebut.

Majlis berbuka puasa yang dikelolakan Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) Unimap dengan kerjasama Pusat Tanggungjawab (PTj) universiti itu diadakan setiap hari sepanjang Ramadan kecuali pada hari minggu.

Naib Canselor Unimap, Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan bagi meringankan perbelanjaan golongan pelajar dengan menggunakan sumbangan dalaman kakitangan Unimap dan lapan syarikat swasta.

“Sumbangan yang berjaya diperolehi iaitu sebanyak RM25,000 daripada syarikat luar dan RM30,000 sumbangan seluruh kakitangan Unimap yang digunakan untuk membeli bahan memasak bagi menyediakan juadah berbuka puasa kepada 19,500 pelajar.

“Program berkenaan turut menyemarakkan semangat kerjasama ukhuwah antara kakitangan dan pelajar Unimap untuk bekerja dalam satu pasukan bagi menyediakan masakan untuk berbuka puasa,” katanya ketika menyertai gotong-royong menyediakan juadah berbuka di PIMPIN, kampus Alam Unimap di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah PIMPIN, ustaz Muhamad Adib Hassan dan ketua-ketua jabatan terlibat.

Tambah Zaliman, program berbuka secara percuma itu dimulakan dengan aktiviti memproses dan menyediakan bahan mentah diikuti aktiviti memasak bergotong-royong.

“Makanan yang siap dimasak kemudian dihidangkan di atas tikar untuk dinikmati bersama-sama sebelum solat Tarawih yang juga dilakukan secara berjemaah.

“Penganjuran majlis ini secara tidak langsung memberi peluang dan menggalakkan kakitangan untuk bersedekah di bulan yang mulia ini di samping dapat beramah mesra dengan pelajar-pelajar Unimap,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya