KOTA BHARU: Pelajar Pusat Tahfiz As Shakirin, Pasir Puteh, di sini teruja pertama kali dibawa membeli baju raya di Pasaraya Mydin Mall Tunjong, di sini.
Seorang pelajar, Muhammad Abdul Latif Johar, 15, berkata, sebelum ini dia tidak pernah membeli baju raya dan kelengkapan untuk sambutan Syawal sendiri dan pada kebiasaannya ibu bapanya yang menguruskan kesemuanya.
“Memang saya teruja dan tidak tahu hendak membuat pilihan kerana tidak biasa beli sendiri, mujurlah pekerja pasar raya ini, membantu saya memilih saiz baju jubah untuk dipakai pada pagi raya nanti.
“Alhamdullilah ini merupakan saat yang paling manis dan tidak dapat saya lupakan sepanjang lebih setahun belajar di pusat tahfiz ini,” katanya kepada pemberita selepas ditemui dalam Program Indahnya Raya Bersama Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) Bersama Mydin Sdn. Bhd. di Mydin Mall Tunjong, di sini hari ini.
Turut mengiringi pelajar terbabit, mudir tahfiz berkenaan, Johar Che Harun.
Sementara itu, Muhammad Afiq Azman, 14, berkata, walaupun teruja namun timbul perasaan takut dan malu memandangkan dia tidak pernah berbelanja seperti itu sebelum ini.
“Saya sebenarnya masih tidak percaya dapat membeli pakaian dan kelengkapan raya sendiri memandangkan saya bukan terdiri dari golongan keluarga berkemampuan.
“Jadi sebelum ini, saya pakai sahaja apa yang tersedia ada, tapi tahun ini Aidilfitri lebih meriah apabila saya dapat nemilih pakaian, kasut, termasuk diberi pilihan memilih jam tangan dan saya amat gembira,” katanya.
Menurutnya lagi, pada mulanya dia risau kerana tidak pandai membuat pilihan, namun bantuan rakan dan pekerja di pasar raya itu yang mesra membuatkan dia seronok untuk memilih barangan yang menjadi pilihan hati untuk dipakai di pagi Syawal nanti.
Sementara itu, Presiden Kemudi, Majidah Ismail berkata, program itu adalah antara aktiviti yang dijalankan kelab dalam usaha membantu meringankan beban golongan memerlukan.
Majidah berkata, usaha itu dilakukan hasil kerjasama antara Pasaraya Mydin bersama kelab media dan individu yang merupakan penyumbang iaitu Raja Rusmin Raja Mahmud dengan melibatkan 30 pelajar tahfiz terpilih.
“Dalam kita teruja dan bergembira membuat persiapan hari raya, diharap usaha ini memberi pendedahan kepada golongan memerlukan, sekali gus memberi inspirasi kepada orang lain bagi membantu insan yang kurang berkemampuan untuk merasai kegembiraan menjelang sambutan Syawal yang berbaki hanya seminggu lagi,” katanya. – UTUSAN