ARAU: Seramai 30 pelajar pelbagai kaum dari Kelab Jahitan dan Masakan Pusat Budaya dan Seni Universiti Utara Malaysia (UUM) bergotong-royong menyediakan bubur lambuk untuk diagihkan kepada golongan asnaf.
Bengkel kongsi rezeki bubur lambuk tersebut dianjurkan Kelab Jahitan Dan Masakan Pusat Budaya Dan Seni bersempena dengan festival Kesenian Islam (FESKIM) 2023.
Sebanyak 500 pek bubur lambuk berjaya disediakan untuk diagihkan kepada golongan asnaf sekitar Kubang Pasu.
Turut sama menyertai aktiviti gotong-royong menyediakan bubur lambuk itu ialah Dekan Hal Ehwal Pelajar UUM, Dr. Kamarul Azman Khamis dan Pengarah Pusat Budaya UUM, Asmawiza Husin.
Kamarul Azman berkata, aktiviti tersebut melibatkan keterlibatan pelajar pelbagai kaum.
“Ia juga bersempena FESKIM 2023 yang diadakan selama tiga hari.
“Jelas keterujaan mahasiswa dapat bersama menjayakan aktiviti berkenaan di mana ia selari dengan seruan menteri pengajian tinggi untuk melihat penglibatan mahasiswa dan universiti untuk terus bersama komuniti masyarakat desa di dalam program dan aktiviti,” katanya di sini hari ini.-UTUSAN