KUALA TERENGGANU: Seorang pegawai penguat kuasa di negeri ini direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah RM2,500 pada 2021.
Perintah reman bermula hari ini sehingga 7 April itu dikeluarkan di Mahkamah Majistret di sini oleh Majistret Noor Mazrinie Mahmood.
Suspek yang berusia 32 tahun itu dilihat meninggalkan mahkamah pada pukul 10.15 pagi memakai baju lokap oren Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Terdahulu suspek ditahan di Pejabat SPRM Kemaman ketika hadir memberi keterangan kira-kira pukul 1.30 petang semalam.
Penahanan suspek itu dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009.
Suspek didakwa menerima RM2,500 daripada keluarga seorang banduan sebagai cara membenarkan banduan itu diberi layanan istimewa di dalam penjara.
Suspek akan ditahan di lokap SPRM Terengganu untuk siasatan lanjut. – UTUSAN