SARIKEI: Usaha bagi mengawal tahap keselamatan perairan Sarawak terus dipertingkatkan dengan kewujudan Sarawak Coastguard yang pertama di kawasan perairan utama iaitu Tanjung Manis.
Ketua Markas Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UPKS) Tanjung Manis, Eddy Gilbert Yakut berkata pasukan itu berperanan sebagai pelengkap keselamatan di perairan pantai dan sungai.
“”Pengawal pantai ini juga sedia bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasa lain dalam operasi khas termasuk bencana seperti banjir.
“Justeru itu, ini merupakan usaha pasukan kita membantu agensi-agensi keselamatan yang lain dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya dalam satu Majlis Doa Selamat sempena penempatan Sarawak Coastguard di Tanjung Manis, semalam.
Penempatan aset pasukan tersebut merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Sarawak dalam meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan persisir pantai pada masa sama memelihara alam persekitaran selaras dengan objektif Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Pada masa yang sama, Sarawak Coastguard merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak mewujudkan iklim yang terjamin untuk membolehkan dan menarik pelabur-pelabur asing dalam pembangunan Sarawak ke arah negeri maju menjelang tahun 2030.
“Ia akan menguatkuasakan undang-undang di bawah Ordinan Perikanan Negeri 2003, Ordinan Hutan 2015, Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998, Ordinan Taman Negara dan Rizab Alam Semula Jadi 1998 dan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958,” tambahnya.
Turut hadir pada majlis, Pemangku Pegawai Daerah Tanjung Manis, Ismail Kasah, Pengarah Zon Maritim Manis, Komander Maritim Gilbert Tinggak Numpang dan Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis, Awang Busrah Awang Mostapha.-utusan