Pas Perak nafi gerak usaha tumbangkan kerajaan negeri - Utusan Malaysia

Pas Perak nafi gerak usaha tumbangkan kerajaan negeri

RAZMAN Zakaria (kanan) menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Perak di Dataran Amanjaya, Lawin di Lenggong hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: Pas Perak menafikan wujud gerakan daripada parti itu untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan di Perak bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri ini diadakan serentak dengan PRN di enam buah negeri lain.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, tiada usaha ke arah itu walaupun kerajaan negeri gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) ibarat ‘kahwin paksa’ dan boleh ‘bercerai’ pada bila-bila masa.

Menurutnya, kesan daripada ‘kahwin paksa’ itu sudah tentu tidak boleh memuaskan hati semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari kedua-dua parti yang membentuk kerajaan negeri.

“Mungkin ada di antara mereka (ADUN) yang mungkin rasa tidak berpuashati dari segi pembahagian jawatan seperti exco kerana jawatan itu terhad.

“Walaupun kita melihat kerajaan negeri ini seolah-olah ‘perkahwinan secara paksa’ namun kita tiada ke arah usaha itu (gerakan menumbangkan kerajaan negeri).

“Namun begitu, apabila ‘kahwin paksa’ ibaratnya pada bila-bila masa pun boleh bercerai, memandangkan perjuangan mereka tidak sama dan terlihat seolah-olah tuntutan-tuntutan daripada parti DAP tidak dapat dipenuhi oleh UMNO-BN.

“Natijahnya ialah berkemungkinan besar rasa tidak puas itu berlaku, jadi kita melihat mungkin kerajaan ini akan jatuh dari sudut pandangan ‘kahwin paksa’ dan Pas termasuk Perikatan Nasional (PN) tidak ada hubung kait dalam mana-mana gerakan seperti itu, mungkin itu berlaku di antara sesama mereka,”katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Perak di Dataran Amanjaya, Lawin di sini hari ini.

Razman mengulas desas-desus dalam media sosial kononnya terdapat usaha untuk menggulingkan Kerajaan Perpaduan di Perak.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November lalu, kerajaan Perak ditubuhkan dengan gabungan 24 ADUN daripada PH bersama sembilan ADUN BN yang membentuk majoriti 33 kerusi DUN manakala Perikatan Nasional (PN) menang 26 kerusi DUN.

DUN Perak mempunyai 59 kerusi, memerlukan sekurang-kurangnya 30 kerusi untuk mana-mana parti politik meraih majoriti mudah membentuk kerajaan negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya