KUALA LUMPUR: Harga runcit minyak masak sawit tulen botol satu hingga lima kilogram tidak akan dinaikkan bagi tempoh 8 April hingga 7 Mei ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya telah mengadakan sesi libat urus dengan pemain industri bagi memastikan sambutan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tidak terjejas dengan isu kenaikan harga yang tidak munasabah.
Menurutnya, harga runcit maksimum bagi minyak masak kelapa sawit tulen botol kekal pada harga RM6.90 (1kg), RM13.30 (2kg) RM19.60 (3kg) dan RM30.90 (5kg).
“Mana-mana pihak yang menjual melebihi harga maksimum boleh diambil tindakan di bawah Aka Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti iaitu denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu dan denda sehingga RM500,000 bagi syarikat,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, di sini hari ini.
Beliau menjelaskan, secara umumnya, terdapat kenaikan harga minyak sawit mentah untuk bulan Mac berbanding bulan sebelumnya yang telah melepasi RM4,000.00 per tan metrik.
“Purata harga Minyak Sawit Mentah untuk bulan Mac 2023 adalah RM4,139 per tan matrik berbanding RM3,908 per tan matrik pada bulan Februari 2023.
“Kenaikan ini sekali gus akan menyebabkan berlakunya kenaikan harga runcit minyak masak tulen kemasan botol berdasarkan kepada konsep harga siling bergerak,” katanya.
Katanya lagi, pengekalan harga runcit minyak masak sawit kemasan botol melibatkan pembayaran subsidi kepada pengilang-pengilang penapis secara tuntutan bayaran balik berdasarkan bilangan tuntutan sebenar.
“Kerajaan membayar subsidi sebanyak RM7 juta sebulan. Ini komitmen kerajaan bagi memastikan harga tidak naik. Minyak bersubsidi bagi minyak paket kekal dengan harga RM2.50 setiap kilogram,” katanya. – UTUSAN