Dewan Rakyat lulus mansuh hukuman mati mandatori

(PARLIMEN) Dewan Rakyat lulus mansuh hukuman mati mandatori

RAMKARPAL SINGH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

Rang undang-undang itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Ramkarpal Singh. 

Rang undang-undang itu melibatkan pindaan undang-undang yang memansuhkan hukuman mati mandatori kepada kesalahan-kesalahan berkaitan melibatkan beberapa akta iaitu Kanun Keseksaan, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Akta Senjata 1960, Akta Penculikan 1961, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Perdagangan Strategik 2010 dan Kanun Tatacara Jenayah. 

Di bawah pindaan itu, tiada lagi hukuman pemenjaraan sepanjang hayat sebagai alternatif kepada hukuman mati mandatori, sebaliknya, alternatif baharu adalah hukuman pemenjaraan tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali.

Ramkarpal sebelum itu membentang rang undang-undang berkenaan untuk bacaan kedua dan ketiga selepas ia dibahas oleh seramai 10 ahli Parlimen.

Dalam pembentangannya, Ramkarpal berkata,  dengan pemberian budi bicara kepada mahkamah dalam menjatuhkan hukuman mati, mahkamah boleh mengambil kira prinsip undang-undang yang terpakai dalam memutuskan sama ada hukuman mati perlu dikenakan.

“Antara lain terdapat anggapan yang memihak kepada hak seseorang untuk hidup yang tidak terbatas (an unqualified right to life); pertimbangan prinsip seterusnya adalah, di mana hukuman mati boleh dikenakan di dalam kes-kes yang sesuai dan mahkamah mempunyai peranan untuk menentukan kes-kes yang sesuai tersebut berdasarkan, antara lain, duluan di dalam kes-kes serupa di negara-negara lain seperti India yang juga telah pun menghapuskan hukuman mati mandatori.

“Prinsip-prinsip yang harus dipertimbang termasuk faktor-faktor mitigasi dan pemberatan (mitigating and aggravating factors),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Ramkarpal berkata, perundangan sistem keadilan jenayah negara diwujudkan sejak sekian lama dan terdapat banyak peruntukan sedia ada yang dilihat tidak lagi relevan dengan perkembangan jenayah semasa.

Katanya, dalam hal ini keputusan kerajaan berkaitan pemansuhan hukuman mati mandatori dilihat sebagai langkah yang tepat dalam usaha kerajaan untuk mewujudkan sistem perundangan yang dinamik, progresif dan relevan dengan keperluan semasa.

“Bagaimanapun, hukuman gantian kepada hukuman mati mandatori perlu setimpal dengan keseriusan jenayah yang telah dilakukan oleh pesalah dan tidak mengakibatkan ketidaksesuaian dengan hukuman lain yang kurang serius.

“Justeru, hukuman pemenjaraan bagi suatu tempoh berserta dengan sebatan dilihat sebagai hukuman gantian yang paling bersesuaian terhadap 11 kesalahan yang membawa kepada hukuman mati mandatori ini. Kombinasi hukuman pemenjaraan dan sebatan adalah wajar supaya dilihat sebagai hukuman yang lebih berat berbanding hukuman untuk jenayah lain,” katanya.

Dalam pada itu, Dewan Rakyat turut meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh Ramkarpal. 

RUU Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 bertujuan supaya Mahkamah Persekutuan diberi kuasa untuk menyemak semula rayuan 842 orang banduan hukuman mati.

“Apabila kita bercakap mengenai pemansuhan hukuman mati mandatori, kita tidak boleh mengelak daripada perbualan mengenai nasib banduan hukuman mati yang sedang melalui tempoh moratorium dalam penjara.

“Moratorium ini sudah berjalan sejak kerajaan memutuskan supaya satu kajian terhadap hukuman gantian bagi hukuman mati,” katanya. -utusan

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya