KUANTAN: Sebanyak 855 tangki statik akan disediakan pihak Pengurusan Air Pahang, dalam usaha mengatasi masalah gangguan bekalan air pada sambutan Aidilfitri tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Datuk Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, pihaknya turut bersedia menggerakkan kira-kira 34 lori tangki air sebagai bantuan alternatif.
Menurutnya, tangki statik dan lori tangki yang disediakan akan diagihkan ke berapa lokasi dikenalpasti sering berlaku masalah tekanan air rendah dan berapa kawasan sering terjejas bekalan khususnya di musim cuti perayaan.
“Pejabat kami di setiap daerah sudah menyediakan pelan kontigensi sebagai langkah awal kemungkinan berlaku masalah gangguan bekalan air.
“Memang kita jangkakan gangguan bekalan air berlaku kerana setiap kali musim perayaan, permintaan dan penggunaan meningkat secara mendadak,” katanya.
Beliau berkata kepada media selepas majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada anak yatim anjuran PAIP di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Saiful Zaini turut memaklumkan pihaknya akan mengaktifkan pelan kesiapsiagaan PAIP bermula pada 17 April hingga 30 April ini.
Jelasnya lagi, pasukan teknikal PAIP di semua peringkat akan bertugas dalam keadaan bersiap sedia dengan kemungkinan berlaku gangguan bekalan air.
“Cuti mereka bukan dibekukan, tapi memang susah disediakan ‘team’ yang bertugas untuk menerima laporan gangguan bekalan sumber air dan membuat pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya.
Sementara itu, katanya, antara lokasi dijangka berdepan masalah tekanan air rendah, kebiasaannya membabitkan gugusan Felda dan perkampungan tradisional.
“Gangguan ini berlaku kerana ramai orang balik kampung dan permintaan terhadap bekalan air meningkat berkali ganda.
“Ketika ini kadar penggunaan air pada masa yang sama adalah tinggi, jadi mungkin akan berlaku masalah gangguan kerana permintaan melebihi dari hari-hari biasa,” katanya. – UTUSAN