Ops pelebalan: Lima premis perniagaan dikompaun RM17,000 - Utusan Malaysia

Ops pelebalan: Lima premis perniagaan dikompaun RM17,000

KASEMANI Embong (kiri) memeriksa label tarikh tamat tempoh pada produk makanan yang dijual dalam Ops Pelabelan di sebuah pasar raya di Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mengeluarkan kompaun kepada lima premis perniagaan bernilai RM17,000 kerana menjual produk makanan yang rosak dan tamat tempoh dalam Ops Pelebalan pada Ramadan kali ini.

Pengarahnya, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, kesalahan itu dikesan hasil pemeriksaan ke atas 21 premis seperti pasar raya, pasar mini dan kedai runcit di seluruh negeri ini.

Menurutnya, antara kesalahan yang dilakukan itu adalah menjual produk makanan dalam tin yang berkarat, kemek dan kembung serta produk yang sudah tamat tarikh luput.

“Sejak awal Ramadan hingga semalam, kita telah memeriksa sebanyak 4,343 produk di pasaran.

“Susulan itu, kita telah menyita 185 produk yang mengalami pelbagai kerosakan dan tamat tempoh bernilai lebih RM1,000.

“Tindakan itu diambil selepas pemilik premis terbabit didapati gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” katanya kepada pemberita selepas membuat pemeriksaan dalam Ops Pelabelan di sebuah pasar raya di sini, semalam.

Seramai 28 anggota penguat kuasa daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Terengganu menyertai operasi tersebut.

Tambah Dr. Kasemani, orang ramai perlu lebih berhati-hati ketika membeli sebarang produk makanan terutama produk yang dijual pada harga promosi bagi mengelak pembelian produk yang rosak dan tamat tempoh.

“Sekarang banyak dijual hamper raya, pastikan tarikh luput produk tersebut masih sah dan keadaan pembungkusan masih elok, tidak kemek, tidak kembung dan berkarat.

“Selain itu, beli produk yang mempunyai logo jaminan keselamatan makanan seperti logo halal, Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP), pengiktirafan Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP) dan sijil MeSTI (Makanan Selamat Tanggungjawab Industri),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya