Ops Khas Pagar Laut; 42 kes berjaya ditumpaskan - Utusan Malaysia

Ops Khas Pagar Laut; 42 kes berjaya ditumpaskan

SAIFUDDIN Nasution Ismail ketika meninjau dan menyampaikan bingkisan raya kepada pegawai dan anggota Maritim Malaysia yang bertugas sempena Op Pagar Laut di atas Kapal Maritim (KM) Burau di perairan Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Op Khas Pagar Laut yang diaktifkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menumpaskan sebanyak 12 kes berprofil tinggi daripada 42 kes tangkapan yang dilakukan membabitkan nilai keseluruhan lebih RM13juta.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kejayaan itu adalah hasil pelaksanaan operasi berkenaan yang dijalankan di seluruh kawasan perairan negara bermula 9 April sehingga 25 April lalu.

Jelas beliau, 12 tangkapan berprofil tinggi itu melibatkan tiga kes tangkapan menyeludup masuk rokok, dua kes kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) serta masing-masing satu kes mencuri dan rompakan berkumpulan.

 

Turut berjaya ditumpaskan, kata beliau, tiga kes pencerobohan bot nelayan asing dan dua kes kesalahan menyeludup barang kawalan iaitu petrol dan minyak masak.

“Daripada 12 kes berprofil tinggi seperti dinyatakan, Maritim Negeri Johor berjaya menumpaskan kes rompakan bersenjata melibatkan empat warga tempatan di Pelantar Aurora Producer 1 di Tanjung Langsat, Johor pada 24 April lalu.

“Ini adalah kes pertama kali cubaan merompak kabel yang dilakukan oleh warga tempatan kerana kebiasaannya kes sebegini melibatkan warga asing.

“Kesemua suspek disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana merompak secara berkumpulan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Saifuddin meninjau dan menyampaikan bingkisan raya kepada pegawai dan anggota Maritim Malaysia yang bertugas sempena Op Pagar Laut di atas Kapal Maritim (KM) Burau di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) yang memangku tugas Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Hamid Mohd. Amin.

Sementara itu, Saifuddin berkata, kejayaan Op Pagar Laut ini adalah usaha berterusan Maritim Malaysia memperketatkan lagi kawalan serta mengoptimumkan pengoperasian di kawasan maritim negara terutamanya di sempadan Malaysia dan Thailand serta Indonesia.

Dalam masa sama, beliau berharap Maritim Malaysia dapat mengurangkan sekali gus menghentikan aktiviti jenayah seperti penyeludupan PATI serta penyeludupan barangan kontraband, pencerobohan BNA dan banyak lagi menerusi tindakan berterusan seperti operasi berkenaan.

Jelasnya, meskipun Op Khas Pagar Laut itu akan berakhir tengah malam 30 April ini, Maritim Malaysia akan meneruskan kawalan dan rondaan di perairan negara dengan beberapa operasi lain di seluruh negara.

“Dengan nilai rampasan dan tangkapan yang dilakukan juga, saya menganggap Ops Pagar Laut ini berjaya dan ia juga memberikan satu penegasan terhadap komitmen tinggi Maritim Malaysia sebagai agensi barisan hadapan yang mengawal maritim negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya