Ops HRA: Lesen 7 pemandu bas terlibat dadah digantung - Utusan Malaysia

Ops HRA: Lesen 7 pemandu bas terlibat dadah digantung

LOKMAN Jamaan (tengah) ketika turut serta dalam pada Ops Motosikal sempena Ops HRA berhampiran tol menuju ke Jambatan Pulau Pinang malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Seramai tujuh pemandu bas yang dikesan berada di bawah pengaruh dadah sepanjang kempen dan Ops Bersepadu Hari Raya Aidilfitri (HRA) berdepan tindakan penggantungan lesen memandu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, tindakan tegas itu diambil di bawah Seksyen 36 dan atau Seksyen 56 Akta 333.

Katanya, kesemua pemandu tersebut yang ditahan di beberapa lokasi berasingan termasuk di Pulau Pinang, Melaka, Perak dan Perlis telah diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut.

Pada masa sama katanya, syarikat bas berkenaan juga akan diaudit menerusi Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) JPJ bagi melihat tahap kepatuhan mereka.

Jelas Lokman, tindakan susulan seperti cadangan penggantungan atau pembatalan permit akan turut dikemukakan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) selepas siasatan selesai dijalankan.

“Dalam masa sama, kita mengingatkan pemilik-pemilik syarikat (kenderaan) komersial supaya memastikan kenderaan mereka tidak rosak ketika berada di jalan raya kerana boleh mengganggu aliran trafik.

“Mereka boleh dikenakan tindakan kerana dianggap gagal untuk menyelenggara kenderaan masing-masing (dengan baik),” katanya selepas meninjau Ops Motosikal sempena Ops HRA berhampiran tol menuju ke Jambatan Pulau Pinang, di sini malam tadi.

Dalam operasi yang turut dihadiri oleh Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md. Isa itu, sebanyak 47 buah motosikal disita atas pelbagai kesalahan termasuk tiada perlindungan insurans, tiada lesen memandu serta beberapa kesalahan teknikal lain.

Sementara itu, Lokman memberitahu, secara keseluruhannya sebanyak 71,688 notis atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987(Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) serta peraturan di bawahnya sepanjang kempen dan Ops Bersepadu HRA dijalankan antara 18 April hingga semalam.

Beliau berkata, sebanyak 729 buah kenderaan turut disita atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh itu melalui aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan di koridor penguatkuasaan yang melibatkan 291 lokasi ‘point of duty’ (POD) di seluruh negara.

Menurutnya, 37 peratus atau 26,354 daripada keseluruhan notis itu melibatkan tujuh kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju dengan 19,489 notis, tidak mematuhi isyarat lampu merah (5,653 notis) dan tidak memakai tali pinggang atau topi keledar (667 notis).

Selain itu, ujar beliau, kesalahan menggunakan telefon bimbit semasa memandu (170 notis), memotong barisan (152 notis) serta memotong di garisan berkembar dan memandu di lorong kecemasan masing-masing sebanyak 148 dan 75 notis.

“Kesemua kesalahan ini telah didaftarkan di dalam sistem mySikap sebagai kesalahan yang tidak boleh dikompaun dan OKS (orang kena saman) perlu hadir ke mahkamah untuk menyelesaikan notis saman yang dikenakan,” katanya yang memberitahu, OKS juga akan dikenakan ‘mata demerit’ mengikut kesalahan yang dilakukan.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, 48 notis turut dikeluarkan atas kesalahan gagal mematuhi larangan kenderaan barangan dengan pemandu kenderaan tersebut berdepan tindakan penggantungan lesen memandu manakala syarikat yang berkaitan pula di bawah JISA sebelum tindakan susulan diambil oleh APAD.

“Sepanjang kempen dan Ops HRA itu juga, JPJ turut menerima sehingga 1,700 aduan daripada orang awam yang dihantar menerusi aplikasi [email protected] dengan kesalahan tertinggi yang dilaporkan ialah memandu di lorong kecemasan dengan 580 aduan,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya