Operasi pembenihan awan di Pulau Pinang dijadualkan semula - Utusan Malaysia

Operasi pembenihan awan di Pulau Pinang dijadualkan semula

GELOMBANG pertama operasi pembenihan awan TUDM di Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam, Pulau Pinang dijadualkan semula untuk dimulakan pada awal bulan depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Gelombang pertama operasi pembenihan awan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam di sini dijadualkan semula untuk dimulakan pada awal bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. K. Pathmanathan berkata, penjadualan semula operasi pembenihan awan itu berdasarkan cadangan Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia).

Jelas beliau, rasional utama di sebalik langkah itu adalah untuk memaksimumkan potensi hujan lebat dengan menjalankan operasi pembenihan awan hanya apabila keadaan cuaca optimum iaitu apabila awan hujan besar diramalkan hadir pada ketinggian yang betul.

“Operasi dijadualkan semula berdasarkan keadaan cuaca dan kawasan sasaran operasi ialah Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, PBAPP memaklumkan operasi pembenihan awan tersebut dijangka dilaksanakan semalam hingga 7 Mei ini bagi membantu mencetuskan hujan di kawasan tersebut.

Menurutnya, pesawat TUDM yang menjalankan operasi pembenihan awan pada Mei depan akan berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Subang, Selangor dengan seorang jurutera PBAPP ditugaskan berada di dalam pesawat untuk menyaksikan setiap misi di Pulau Pinang.

Jelas beliau, PBAPP juga akan memantau hasil operasi pembenihan awan dengan merekodkan hujan di kawasan tadahan air yang disasarkan dan kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang selepas operasi selesai.

”Bergantung kepada hasilnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan PBAPP mungkin memohon lebih banyak operasi pembenihan awan tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, setakat semalam, kapasiti Empangan Air Itam merekodkan paras 43.6 peratus manakala Empangan Teluk Bahang pada paras 49.1 peratus.

Jelasnya, kapasiti efektif kedua-dua empangan itu berkurangan kerana kekurangan taburan hujan di kawasan tadahan air yang berkaitan.

”Musim kemarau yang berpanjangan yang berkaitan dengan perubahan iklim dan permintaan air yang tinggi di Pulau Pinang sejak awal Januari adalah punca utama fenomena ini,” katanya.

Jelasnya, empangan-empangan berkenaan perlu diisi semula dengan air sebanyak mungkin bagi mengelak krisis bekalan air yang berpotensi berlaku di Pulau Pinang sebelum musim hujan akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya