Operasi bersepadu rampas 1,366 bubu naga - Utusan Malaysia

Operasi bersepadu rampas 1,366 bubu naga

OSMAN Mohamed (kiri) menunjukkan bubu naga yang dirampas dalam Operasi MCS selama lima hari bermula Isnin lalu di Pangkalan Utama MCS Kampung Acheh, Sitiawan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Aktiviti tangkapan ikan menggunakan bubu naga semakin membimbangkan apabila menunjukkan peningkatan kira-kira 10 peratus dan kehadiran ramai individu baharu menggunakannya di laut khususnya sekitar perairan Perak.

Ia berdasarkan tangkapan dan sitaan Jabatan Perikanan terhadap bubu yang diharamkan itu sejak awal tahun ini.

Terbaharu, Operasi Bersepadu Pemantauan, Kawalan dan Pengawasan Vesel Penangkapan Ikan (MCS) Zon Tengah selama lima hari bermula Isnin lalu dan berakhir semalam berjaya me­rampas 1,366 unit bubu naga.

Sehubungan itu, Penyelaras Operasi tersebut, Osman Mohamed memaklumkan pihaknya akan mengusulkan kepada agensi berkaitan untuk mengekang penjualan set bubu naga yang berleluasa dan mudah dibeli termasuk pembelian dalam talian.

“Bubu naga ini asalnya ha­nya digunakan dalam aktiviti akuakultur tetapi diubah suai untuk penggunaan di laut dan semakin popular kerana ia mudah dipasang, harga murah serta boleh menghasilkan perolehan tinggi hingga RM1,000 sehari.

“Ketika ini, Jabatan Perikanan tiada kuasa untuk menghalang penjualan bubu itu tetapi boleh menguatkuasakan undang-undang bila digunakan di laut, dan ia sering menjadi topik panas setiap kali mesyua­rat jawatankuasa bersama Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pasukan Polis Marin dan agensi berkaitan.

“Kita akan mencadangkan agar penjualan bubu naga diha­ramkan kecuali kepada mereka yang terlibat dalam akuakultur,” katanya pada sidang akhbar di Pangkalan Utama MCS Kampung Acheh, Sitiawan.

Beliau berharap ada hasil positif terhadap cadangan itu tahun ini yang melibatkan ba­nyak pihak berkuasa lain seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Perdaga­ngan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Dalam pada itu, operasi MCS dengan kerjasama pasukan Polis Marin itu meliputi perairan Pulau Pinang dan Perak, yang mencatatkan 22 kes dengan anggaran nilai rampasan ialah RM538,810. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya