KOTA KINABALU: Ketua Wanita UMNO Bahagian Penampang, Datuk Noraini Idris dilantik sebagai Ketua Wanita UMNO Sabah yang baharu bagi sesi 2023-2026.
Pelantikan itu diumumkan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Exco Wanita UMNO di Ibu Pejabat UMNO Kuala Lumpur semalam.
Noraini mula menyertai UMNO Sabah pada 2001 dan pernah dilantik sebagai Ketua Puteri UMNO Penampang pada 2004 dan turut terpilih sebagai Exco Puteri UMNO. Kemudian beliau terpilih sebagai Ketua Wanita UMNO Bahagian Penampang dan juga Ketua Penerangan Wanita UMNO Negeri Sabah.
Pada 9 Disember 2021, beliau dipilih oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sebagai Senator Dewan Negara.
Noraini berkata, pelantikannya itu adalah satu amanah dan tanggungjawab besar yang perlu digalas. Namun, beliau memerlukan sokongan daripada semua pihak terutamanya pimpinan Wanita UMNO di semua peringkat khsusnya di Sabah.
“Saya faham tanggungjawab ini bukan mudah tapi saya yakin jika ada semangat kerja berpasukan yang tinggi dalam kalangan pimpinan Wanita di semua peringkat maka, Wanita UMNO boleh terus kekal sebagai barisan hadapan yang akan memastikan kelangsungan parti keramat ini.
“Saya juga percaya dengan kerjasama berpasukan yang tinggi, UMNO mampu kembali berkuasa seperti sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut melahirkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan pucuk pimpinan wanita UMNO yang diketuai oleh Noraini Ahmad.
Jelas beliau, amanah yang diberikan itu akan dipikul dengan sebaiknya apatah lagi, Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hampir. Terlalu banyak cabaran yang dilalui dalam memastikan UMNO kekal relevan dan diterima oleh rakyat Sabah biarpun pelbagai persepsi negatif mula dimainkan bagi menjejaskan sokongan UMNO di negeri ini.
Turut diumumkan lantikan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Sabah yang baharu iaitu Ummi Nabilah Jamal yang merupakan Ketua Puteri UMNO Bahagian Papar.
Sementara itu, Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, lantikan Noraini Idris dan Ummi Nabilah akan membantu memperkasakan lagi peranan UMNO di semua peringkat.
Beliau berkata, mereka yang dilantik harus menganggap ini sebagai satu amanah dan tanggunjawab besar dengan membudayakan prinsip kesetiaan dan sentiasa memberi keutamaan kepada parti.- utusan