IPOH: Nombor plat kenderaan siri AMY 1 yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak menerima bidaan tertinggi iaitu RM400,000.
Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan, bidaan nombor plat AMY 1 mengatasi bidaan plat siri sebelum ini iaitu AMG.
Menurutnya, plat siri AMY begitu popular apabila siri nombor 1 hingga 9 telah dibida melebihi RM80,000.
“Plat siri AMY mengatasi plat siri AMG. Bagi nombor plat siri AMY, saya melihat trend, macam orang mempunyai banyak duit kerana hampir semua nombor-nombor popular telah dibida.
“Ada 16 sahaja nombor berbaki untuk nombor popular. Kutipan melebihi RM6 juta untuk jualan nombor tersebut.
“(JPJ) sudah dapat RM6juta. Saya bagi contoh, nombor (plat siri) 1 hingga 9, melebihi RM80,000. Jangan terkejut dalam nombor plat siri 1 hingga 9, ada satu nombor dibida RM400,000 iaitu AMY 1,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada perasmian Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Aidilfitri di Mydin Meru Mall di sini hari ini.
Program dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.
Sebelum ini, nombor siri pendaftaran kenderaan di Perak, AKU 8055 yang boleh membawa maksud AKU BOSS dibida pada harga RM207,898.90. – UTUSAN