PETALING JAYA: Sekian lama tidak memunculkan diri selepas berita perkahwinan keduanya tersebar, penyanyi veteran, Datuk ND Lala dikesan mengunjungi rumah pelakon veteran, Kazar Saisi sempena Hari Raya Aidilfitri.
Kelibat ND Lala tular dalam media sosial selepas seorang pengguna media sosial memuat naik video kemeriahan sambutan lebaran di kediaman Kazar dalam akaun TikTok.
Rata-rata warga maya tertanya-tanya mengenai hubungan penyanyi veteran itu dengan Kazar dan bagaimana dia boleh diundang ke rumah tersebut.
“Siap ada ND Lala sekali. Rasa sudah boleh buka rumah perlindungan pasangan kahwin lari,” tulis seorang netizen.
“Kesian anak ND Lala cari bapa tak jumpa, rupanya bertapa menuntut ilmu dengan Pak Samad,” kata netizen lain.
Menerusi video sama, ramai mendakwa kelibat seorang lelaki yang sedang sibuk membasuh pinggan di dapur adalah suami kepada Ira Kazar, Syamsul Yusof.
“Pasti emak Syamsul dan Puteri Sarah sedih tengok dia basuh pinggan. Sedangkan di rumah sendiri jadi anak raja,” komen netizen.
Sebelum ini, ND Lala mencuri perhatian selepas isteri pertamanya, Datin Fauziah Sarman mendedahkan isteri keduanya adalah kawan baik kepada anaknya sendiri, Shila Amzah sejak zaman sekolah.
Kazar Saisi pula terpalit kontroversi selepas dia menjadi wali semasa majlis pernikahan anaknya dengan Syamsul di selatan Thailand, awal Januari lalu.