IPOH: Nasib seorang peniaga sama ada dibebaskan atau didapati bersalah atas pertuduhan membunuh seorang ibu tunggal enam tahun lalu, akan diketahui pada bulan Jun.
Hakim Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet sepatutnya membacakan keputusan di akhir kes pembelaan dalam prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini.
Bagaimanapun, pihak pembelaan memohon tarikh baharu untuk hukuman tersebut dibacakan berikutan Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 telah diluluskan Dewan Negara, semalam.
Permohonan itu kemudian dibenarkan mahkamah dan menetapkan 16 Jun depan bagi membacakan keputusan kes berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Nur Hussein Mohd. Salleh, 40, didakwa membunuh Hamidah Abdul Rahman, 53, di sebuah rumah di Persiaran Wira Jaya Timur 38, Taman Dato Lew Yan Sip, Ipoh pada pukul 12.01 tengah malam hingga 5 pagi pada 13 Mac 2017.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Naran Singh.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita ditemukan mati dalam keadaan tertiarap, dipercayai dibunuh, dalam bilik tidur rumahnya di Taman Dato Lew Yan Sip, Ampang.
Mayat manita dengan kesan luka di bahagian belakang badan itu ditemukan anak bongsunya ketika mengejutkan mangsa bangun tidur pada pukul 5.30 pagi.
Media semalam melaporkan, RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 diluluskan tanpa pindaan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan 17 Senator di Dewan Negara. – UTUSAN