Murid, pelajar bergejala digalak pakai pelitup muka di sekolah - Utusan Malaysia

Murid, pelajar bergejala digalak pakai pelitup muka di sekolah

Pelitup muka
FADHLINA Sidek memegang plak program itu yang ditandatanganinya dekat kediaman Nor Hamizah (empat kanan) di Kampung Sijangkang, Kuala Langat, Selangor, semalam. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Semua murid sekolah terutama yang bergejala Covid-19 digalakkan memakai pelitup muka  ketika pembukaan semula sesi persekolahan minggu depan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya akan membuat penegasan mengenai prosedur operasi standard (SOP) seperti sebelum ini dan akan menambah baik mengikut syor Kementerian Kesihatan (KKM) dengan menggalakkan pemakaian pelitup muka terutama bagi pelajar bergejala dan kakitangan berisiko.

“Kita akan mengeluarkan kenyataan mengenai SOP itu dalam tempoh terdekat sebelum sesi persekolahan dibuka.

“Ia antaranya penegasan berkaitan soal penjagaan diri dan membasuh tangan. Belum ada kewajiban (pelitup muka) setakat ini,” katanya ketika ditemui pada Program Raya Bersama Guru di Kampung Sijangkang di sini, petang tadi.

Program itu melibatkan empat rumah guru di sekitar daerah ini termasuk kediaman Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya, Nor Hamizah Abdul Hamid.

Semalam, KKM mengesyorkan pemakaian pelitup muka dilaksanakan semula di semua sekolah berikutan kebimbangan peningkatan kembali kes Covid-19 selain penularan varian baharu dikenali sebagai XBB.1.16 atau Arcturus.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa memaklumkan garis panduan SOP melibatkan murid dan pelajar sekolah akan dikeluarkan sebelum pembukaan semula sesi persekolahan pada 2 Mei depan.

Tambah Fadhlina, pihaknya turut meminta ibu bapa supaya memantau sepenuhnya pergerakan dan tahap kesihatan anak mereka.

“Mereka perlu dipantau dari awal (dari rumah) supaya pandemik berkenaan tidak tersebar di sekolah. Garis panduan mengenainya akan dikeluarkan dalam kadar segera,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Program Raya Bersama Guru berkenaan turut akan menjelajah di beberapa negeri lain bermula esok.

“Kita akan cuba menziarahi sebanyak mungkin guru termasuk di Kedah dan Negeri Sembilan sepanjang Syawal ini. Selain program di sekolah, inisiatif seumpama ini dapat mengeratkan hubungan sedia ada dengan golongan pendidik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya