KUALA LANGAT: Menganggap tugas sebagai pembersih Masjidil Haram mulia, pelajar cemerlang Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2022, Muhammad Zaurein Rosman akui bercita-cita untuk menjadi salah seorang individu tersebut.
Pelajar Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) Tengku Ampuan Rahimah itu memperoleh pangkat Mumtaz Sofi kerana meraih keputusan amat cemerlang dalam kesemua 10 subjek pada peperiksaan tersebut.
Menurut Muhammad Zaurein, mengimpikan untuk menjadi tukang cuci Kaabah dan membersihkan pusat ibadah umat Islam di seluruh dunia itu sejak daripada kecil lagi.
“Saya mahu dekatkan diri dengan Allah kerana dia adalah pencipta makhluk seluruh alam.
“Saya sanggup tunggu peluang ini (menjadi tukang cuci) kalau perkara ini tercapai 30 tahun akan datang. Saya reda dengan ketentuan Allah,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengumuman keputusan STAM 2022 di Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) Tengku Ampuan Rahimah, hari ini.
Malah, dia memberitahu, hasratnya itu direstui kedua ibu bapanya tanpa memikirkan soal pendapatan, sebaliknya berharap mempunyai kehidupan lebih tenang selain dapat mendekatkan diri dengan yang Maha Pencipta.
Sementara itu, seorang lagi pelajar cemerlang STAM 2022, Muhammad Shahrul Nizam Mustapha, 19, berkata, dia mendedikasikan keputusan Mumtaz Sofi yang diperolehnya kepada ahli keluarganya serta guru yang pernah mengajarnya.
“Ibu bapa dan guru adalah kunci kepada kejayaan yang saya peroleh pada hari ini, jadi wajarlah saya berkata demikian sebagai tanda penghargaan saya kepada mereka.
“Saya juga hendak ucapkan terima kasih kepada mereka dan rakan-rakan atas sokongan dan dorongan selama ini sehinggalah kita bersama-sama melangkah ke dewan peperiksaan, hari ini pula mendapat keputusannya, semoga kita semua berjaya di masa hadapan,” ujarnya yang bercita-cita mahu menjadi seorang guru. – UTUSAN