PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menyiasat segera isu kontena berisi dadah dari Malaysia ke Brisbane, Australia yang dirampas pihak berkuasa negara itu pada 13 Mac lalu.
Menterinya, Anthony Loke berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan akan mendapatkan maklumat mengenai pelabuhan berkaitan dan membuat siasatan.
“Apa-apa kargo menggunakan pelabuhan kita untuk mengangkut bahan larangan adalah kesalahan serius,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Sebelum ini, pihak berkuasa Australia dilaporkan merampas 336 kilogram (kg) heroin dianggar bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta) dalam sebuah kontena penghantaran dari Malaysia ke Brisbane pada 13 Mac lalu.
Dalam perkembangan lain, Loke berkata, dua buah pelabuhan masing-masing di Klang dan Johor akan melaksanakan projek rintis Sistem Tunggal Maritim Malaysia (MMSW) menjelang suku keempat tahun ini.
Katanya, projek rintis itu akan dimulakan Lembaga Pelabuhan Klang dan Lembaga Pelabuhan Johor sekali gus meningkatkan daya saing pelabuhan berkenaan.
Beliau berkata, pelabuhan itu dipilih kerana ia mempunyai kapasiti besar dan kendalian kargo yang tinggi berbanding pelabuhan lain.
“MMSW itu akan membantu meningkatkan kecekapan pelabuhan negara, selain dapat menjimatkan masa serta mengurangkan birokrasi pelbagai agensi.
“Sebelum ini, setiap kapal asing yang ingin berlabuh di pelabuhan negara perlu melalui proses pendaftaran dan kelulusan daripada 12 agensi tempatan termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia,” katanya.
Katanya, sistem itu yang sudah lama dilaksanakan di pelabuhan luar negara termasuk Singapura, dijangka dapat digunakan oleh semua pelabuhan menjelang tahun depan.
Menurutnya, Jabatan Kastam sebelum ini telah mencuba untuk membina sistem permohonan sama, namun, usaha itu belum berjaya dilaksanakan sehingga kini.
Dalam perkembangan sama, Loke berkata, kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan warga asing memandu treler kontena biarpun wujud desakan daripada pihak industri.
Menurutnya, bagi bidang ‘haulage’ dalam negara tahun lalu, terdapat 766 syarikat ‘haulage’ dengan bilangan ‘prime mover’ sebanyak 16,465, treler (61,616) manakala bilangan pemandunya amat kurang iaitu sebanyak 12,326 sahaja.
“Pendirian kerajaan setakat ini adalah tiada dasar untuk membenarkan pemandu warga asing memandu treler,” katanya. – UTUSAN