PETALING JAYA: Jenama Minyak Afiat Sdn. Bhd. (Afiat) memohon pengguna tidak terkeliru dengan produk yang menggunakan jenama serta label hampir sama dengan produk Afiat.
Pengurus Besar syarikat itu, Abdul Raof Ahmad Zakaria berkata, pihaknya setakat ini mengenal pasti terdapat dua syarikat yang menggunakan jenama, label, warna dan identiti pembungkusan yang hampir sama dengan produk yang telah berada di pasaran hampir 100 tahun itu.
“Mereka dilihat cuba meniru dan seakan ingin menyerupai produk kami dipercayai bertujuan untuk memperdaya pengguna mahupun peruncit atau dengan kata lain, mereka ingin sekadar menumpang populariti Afiat.
“Saya tidak kata syarikat yang dimaksudkan itu membuat produk palsu atau tiruan tetapi jangan keliru dengan jenama produk tersebut yang hampir sama dengan Afiat. Tetapi bersainglah secara sihat bukan dengan cara memperdaya atau memanipulasi persepsi pengguna dengan menumpang populariti nama kami,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Dalam pada itu, Abdul Raof berkata, bagi pengguna yang mahu memastikan produk tulen, mereka perlu meneliti label keselamatan hologram FarmaTag TM pada produk berbotol, tulisan Afiat beserta logo berbentuk lakaran imej Allahyarham Haji Panjang Kamarudin selaku pengasasnya berserta alat muzik gambus dan ia hanya beralamat di Kuala Kangsar, Perak sahaja.
“Ada pengguna datang ke kilang untuk minta ganti rugi kerana terdapat kesan sampingan daripada segi kesihatan ,” ujarnya.
Abdul Raof berkata, Afiat juga sudah membawa kes dua syarikat yang dikenal pasti terbabit ke muka pengadilan dan kini sedang dalam proses menunggu perjalanan kes sivil berkaitannya di mahkamah berpandukan tindakan bagi kesalahan pelanggaran harta intelek. – UTUSAN