Miliki salinan langgaran, peralatan hiburan bernilai RM114,000 disita - Utusan Malaysia

Miliki salinan langgaran, peralatan hiburan bernilai RM114,000 disita

SEBUAH pusat hiburan di Butterworth, Pulau Pinang diserbu sepasukan anggota penguat kuasa KPDN dan RIM petang semalam selepas dipercayai memiliki karya muzik disyaki salinan langgaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Gara-gara memiliki karya muzik yang disyaki salinan langgaran, sebuah pusat hiburan diserbu sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, semalam.

Serbuan kira-kira pukul 5.22 petang di sebuah premis di Taman Limbungan Indah, di sini itu dilakukan dengan kerjasama Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).

Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, hasil serbuan itu, pihaknya menyita beberapa peralatan hiburan termasuk sistem karaoke yang mengandungi 32,000 karya muzik yang disimpan dalam cakera keras.

Katanya, karya yang disyaki salinan langgaran itu bernilai RM3 bagi setiap lagu yang dimuatkan di dalamnya.

Jegan berkata, turut disita dalam serbuan itu ialah ‘amplifier’, alat pemproses, ‘microphone receiver’, mikrofon, televisyen, pembesar suara dan alat kawalan jauh untuk televisyen dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM114,000.

“Kes disiasat di bawah Akta Hakcipta 1987 yang jika sabit kesalahan boleh didenda antara RM2,000 hingga RM20,000 bagi setiap salinan langgaran atau dipenjarakan bagi suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan yang berikutnya pula, denda antara RM4,000 hingga RM40,000 boleh dikenakan bagi setiap salinan langgaran selain dipenjarakan bagi suatu tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Jegan memberi amaran kepada mana-mana pihak atau individu yang cuba memiliki salinan langgaran dan mengingatkan mereka tindakan tegas akan diambil jika terbukti bersalah.

Pada masa sama, beliau mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan daripada orang awam bagi membantu membanteras aktiviti memiliki salinan langgaran tanpa kebenaran oleh pemilik karya yang berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya