Mierul Hazly pertaruh Dengan Bismillah

Mierul Hazly pertaruh Dengan Bismillah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERBEKALKAN pengalaman membuat persembahan sebagai pemuzik jalanan, bakal pendidik serta tiktoker ini terus berusaha mencari peluang mengorak langkah dalam bidang seni suara tanah air. 

Anak muda kelahiran Putrajaya, Mierul Hazly memulakan langkah pertama sebagai pendatang baharu industri muzik tempatan dan berada di bawah naungan syarikat rakaman, Armani Entertainment Group (AEG). 

Mierul hadir dengan single pertama berjudul Dengan Bismillah hasil ciptaan dan tulisan dirinya sendiri bersama komposer yang sedang meningkat naik, Mel Ramlan yang diterbitkan oleh AEG sepenuhnya. 

“Syukur Alhamdulillah kerana setelah sekian lama mencari peluang menjadi seorang penyanyi, kini peluang itu terbuka luas dengan terhasilnya single ini. 

“Ini adalah rezeki yang tidak disangka-sangka. Sejujurnya saya tidak pernah terfikir untuk berkarya serta menyanyikan lagu ciptaan bersama komposer hebat seperti Mel Ramlan yang pernah membuat lagu untuk artis ternama seperti Aizat Amdan dan Fattah Amin. 

“Terima kasih kepada pihak AEG kerana sudi melamar saya menjadi artis naungan mereka dan terutamanya kepada Datuk KK Chua yang percaya dengan bakat yang saya miliki,” kongsinya. 

Pernah mewakili Negeri Sembilan dalam pertandingan nasyid peringkat kebangsaan semasa berusia 17 tahun, Mierul berazam membantu keluarga sendiri dengan menceburi pelbagai bidang selain mengorak langkah dengan mencuba nasib dalam bidang nyanyian. 

“Bermula dengan buat cover lagu di platform media sosial seperti Instagram, Tiktok, Youtube dan Twitter, saya juga aktif mencuba nasib dalam beberapa pertandingan nyanyian sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan. 

“Pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah ketika saya diberi peluang mewakili Negeri Sembilan dalam pertandingan nasyid peringkat kebangsaan ketika masih bersekolah. “Seterusnya, peluang terbuka luas apabila saya menghantar video nyanyian ke Armani Entertainment, dipanggil untuk ujibakat tertutup dan akhirnya rezeki tertulis bersama syarikat rakaman ini,” jelasnya. 

POP BALADA MODEN 

Mengulas proses rakaman yang mengambil masa selama sejam, Mierul berkata, panduan lagu sudah diberikan sebulan lebih awal oleh komposer kerana dia perlu menghayati serta mencapai vokal yang dikehendaki agar meresap ke dalam jiwa apabila dinyanyikan. 

“Saya juga menyumbang lirik dan gubahan lagu supaya ada sedikit suntikan jiwa saya dalam lagu ini. 

“Bagi video muzik pula, pihak pengurusan merangka strategi pemasaran dengan menerbitkan Web Miniseries khas untuk single ini dengan mengetengahkan konsep cerita cinta muda-mudi yang mengejar cita-cita serta konflik dalaman dalam usaha merealisasikan impian untuk menjadi seorang penyanyi,” katanya. 

Mierul berharap peminat dapat memberi sambutan baik dan lagu cinta berirama pop balada moden ini disukai oleh semua pendengar muzik. 

“Ia adalah lagu yang menceritakan tentang doa dan harapan seseorang tentang jodoh dan masa depan mereka. 

“Lagu ini tentang rintihan dan permintaan seorang hamba kepada Tuhan supaya diberikan pasangan hidup yang baik, sanggup berkorban, bertanggungjawab, menempuh ribut dan badai serta setia hingga ke hujung nyawa,” katanya yang sedang menjalani latihan praktikal sebagai guru di sebuah sekolah rendah. 

Single ini boleh dimuat turun di iTunes Store dan boleh didengar dan dinikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman dalam talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer. 

Web Miniseries khas serta video muzik rasmi single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di YouTube Armani Entertainment.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya