HASRAT mengabadikan pengacara dan pelakon meningkat naik, Hawa Rizwana sebagai wajah sampul hadapan Pancaindera, tercapai.
Proses dipermudahkan. Hawa memberi kerjasama penuh, hadir ke pejabat Media Mulia dan menjayakan sesi fotografi serta wawancara yang berlangsung secara serampang dua mata.
Menggayakan persalinan busana tajaan Cerlene, anak kelahiran Illinois, Amerika Syarikat ini cemerlang di hadapan kamera. Tampak selesa, Hawa sememangnya berperwatakan friendly dan menyenangkan.
Beberapa soalan diajukan. Semua dijelaskan Hawa dengan berhemah dan berhati-hati. Lebih-lebih lagi apabila ditebak tentang tindakan netizen yang mengkritik cara kendaliannya sebagai hos program Meletop di Astro Ria.
Tentang itu, Hawa berlapang dada. Dia memilih untuk melihat dari sisi positif.
“Mereka tak bencikan saya. Komen atau kritik, tak semestinya mereka tak suka.
“Saya tak mampu elak daripada menjadi sasaran kritikan, kecaman. Penonton adalah audiens, mereka mahu apa yang mereka nak.
“Ini adalah hikmah yang cukup besar. Lima tahun saya menjadi penyampai berita, langkah dalam dunia hiburan besar tanggungjawabnya,” kata pemilik nama sebenar Hawa Rizwana Ahmad Redzuan.
Barangkali, pada tahap ini, Hawa sudah bosan apabila disamakan dengan selebriti terkenal, Neelofa. Gara-gara wajah yang seakan sama, Hawa sering dikatakan dibayangi Neelofa.
“Itu pandangan masing-masing. Saya tak ada masalah, dibandingkan atau disamakan.
“Ia sudah menjadi perkara biasa untuk saya. Jadi, tak timbul masalah,” jelasnya.
Lakonan punca rezeki
Penglibatan Hawa dalam dunia lakonan semakin rancak selepas dia dilamar sutradara, Michael Ang untuk menjadi teraju utama dalam drama yang turut dibintangi Zizan Razak.
Pertama kali berlakon, Hawa tidak menganggap langkah ke dalam dunia lakonan sebagai tindakan terburu-buru.
“Dahulu, memang tidak berpeluang walaupun minat sebab terikat dengan komitmen sebagai penyampai berita. Sekarang, alang-alang masuk dunia hiburan, kenapa tidak saya cuba.
“Semua ini rezeki Allah. Saya lihat ia dari sudut positif, ia rezeki yang perlu dikongsi dengan keluarga dan orang sekeliling.
“Saya harap orang menerima kehadiran saya dalam dunia lakonan dengan lebih terbuka. Lakonan adalah salah satu pekerjaan dan saya bekerja untuk keluarga,” ujarnya.
Membawa imej Islamik, tentunya Hawa berhati-hati dan tidak sekadar ambil job lakonan secara semberono.
Kata Hawa dia sedar batas yang perlu dijaga. Justeru, tawaran lakonan yang diterima bergantung kepada pertimbangan dalam pelbagai segi.
“Alhamdulillah, setakat ini tak ada pula saya diminta melakukan babak yang tak sesuai dengan imej saya. Dalam keadaan apa sekalipun, pihak produksi akan pastikan saya selesa.
“Di situlah berlaku banyak perbincangan dan proses tolak ansur. Saya bersyukur, ramai yang sudi membantu termasuk pelakon yang bekerja dengan saya seperti Zizan dan Nina Juren,” jelasnya.
Tak kisah, orang industri atau bukan
“Abang, sebenarnya saya dah nak kahwin,” seloroh Hawa.
Dalam lembut tutur bicara, Hawa Rizwana pandai bergurau juga. Lebih-lebih bila ditanya soal jodoh.
“Saya sedar umur dah mendekat 30 tahun, jodoh tak ada lagi. Berkawan memang ramai, tapi belum bercalon.
“Bila jumpa yang sesuai, memang saya nak cepat berkahwin. Tapi tak mahu terburu-buru sebab tak nak tersalah pilih. Doakan yang terbaik untuk saya,” katanya.
Sempat soalan ini diajukan, ciri-ciri ‘imam’ pilihan Hawa Rizwana itu bagaimana?
“Yang buat saya tenang dan menghormati, keluarga dan kerjaya.
“Penting juga dia faham diri saya. Saya tak kisah, orang industri ataupun bukan,” jelasnya.
Betulkan niat
Hawa antara pengacara yang cepat meniti tangga populariti. Dia sebilangan nama yang ‘laku keras’ dan sentiasa meniti dibibir peminat.
Lantas penulis tanyakan, apa rahsia kejayaan seorang Hawa Rizwana?
“Niat itu penting. Apa jenis pekerjaan sekalipun, saya niatkan untuk mencari rezeki dan kerana Allah SWT.
“Ia buat kita berlapang dada, terima setiap nikmat dan kesukaran dengan hati yang gembira.
“Bila kita buat sesuatu, ada yang tak suka. Tapi hati kita tenang dan menjadi lebih kuat. Mudah untuk kita kata tak mengapa. Sebab niat kerana Allah dan untuk mencari rezeki,” kongsinya.