Menyilang nasyid dengan indie - Utusan Malaysia

Menyilang nasyid dengan indie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENERASI 90-an tidak mungkin asing dengan nasyid. Genre itu bukan sahaja mekar dalam media arus perdana, malah budayanya ditanam di sekolah-sekolah dan dipupuk di institusi pengajian tinggi. 

Kumpulan-kumpulan nasyid pernah megah di puncak populariti. Ada yang berjaya menerjah keluar ke pasaran antarabangsa. 

Ada yang memecah rekod penjualan album. Nasyid telah berjaya memahat namanya dalam identiti muzik Malaysia. Cerita keunikan muzik Malaysia tidak lengkap tanpa kisah keunggulannya. 

Sebab itu, kalau anda minta kugiran independen yang terdiri daripada generasi 90-an menyadur lagu nasyid, mereka tiada masalah. 

Buktinya, ketika radio Zayan membuka peluang untuk kugiran dan penyanyi independen menyertai program yang dinamakan Indie X ZAYAN lebih setahun lalu, hampir 300 penyertaan diterima. 

Program itu memerlukan peserta menyadur sebuah lagu nasyid dan ia tidak canggung untuk mereka. 

Lihat sahaja hasil yang dipaparkan motherwit, RUNS, Pasca Sini dan Modread. Mereka berjaya menjadikan lagu-lagu nasyid itu seperti lagu sendiri. 

SEDIKIT KE KIRI 

Tak banyak pun, sedikit saja. Jika selama ini kandungan yang disediakan Zayan selalu ke kanan, Gob Ahmad mahu tarik ia ke kiri sedikit. 

“Untuk musim pertama aku banyak main selamat sebab itu projek rintis. Itupun, dekat Facebook kita boleh nampak banyak kecaman. 

“Jadi, aku tampil dengan satu lagi program, iaitu penyanyi nasyid beri reaksi dan reaksi mereka, boleh kata, seratus peratus okay. 

“Aku nak buat musim kedua sebab habis saja musim pertama, ada beberapa acara yang mana peserta-peserta Indie X ZAYAN persembahkan lagu nasyid yang mereka sadur. Dia macam ada gelombang,” kata Penerbit Kandungan Video Zayan itu. 

Malah, pihak pengurusan radio itu sendiri mahukan Indie X ZAYAN memasuki musim kedua. 

“Komuniti nasyid juga perasan apa yang kami buat. Reaksi mereka tidak ada yang negatif, mereka sokong. Pendengar juga begitu,” kata Eksekutif Muzik Zayan, Eizmeir. 

GUNA MOMENTUM 

Antara peserta Indie X ZAYAN yang jelas mengambil manfaat daripada program itu ialah Pasca Sini. 

Tiga bulan selepas video persembahan mereka di Zayan ditayangkan, mereka tampil dengan EP NASYIDCORE. 

EP itu mengandungi empat lagu yang memadukan elemen nasyid dengan hardcore. Ia termasuk satu lagu saduran, Intifada yang mereka bawakan dalam program Indie X ZAYAN. 

Kata Boy, selepas album Emo Department, Pasca Sini hanya pasti pada satu perkara: mereka mahu main muzik yang lebih berat. 

Apabila idea nasyid itu tiba, proses menulis lagu asli dan menentukan konsep EP mereka jadi lebih mudah. Maka, lahirlah NASYIDCORE. 

“Nasyid ini kawasan yang tidak diteroka, banyak lagi yang boleh dibuat. Sebab itu dalam tiga lagu yang kami buat, bunyinya berbeza sebab nak tunjuk yang memang nasyid ini boleh jadi perlahan, keras, punk dan banyak lagi,” jelas Boy. 

NASYID YANG ANJAL 

Boy memandang nasyid sebagai genre yang sangat anjal dan berpotensi besar. Ia boleh datang dalam banyak bentuk. 

Dari al-Jawaher ke Raihan, Rabbani, Hijjaz, UNIC, Inteam, Mirwana sehingga kini genre itu disertai penyanyi pop seperti Alyah, nasyid tidak ada bentuk tetap. 

“Pendekatan aku pada nasyid sama macam pendekatan aku pada pop punk. Tak macam yang ramai percaya, pop punk tak ada bunyi yang tetap.Ia boleh jadi apa saja dari Movements yang cenderung ke hardcore atau All Time Low yang sangat pop. 

“Aku rasa nasyid pun macam itu. Dia ada potensi untuk datang dalam banyak bentuk. Aku rasa disebabkan orang sempitkan satu genre kepada satu bunyi yang spesifik, itu yang buatkan genre itu mati. 

“Aku rasa kenapa nasyid seakan ‘mati’ pada satu ketika, sebab orang sempitkan bunyinya. Tapi selama ini, kita juga dah nampak nasyid dalam bentuk yang berbeza, seperti apa yang dibawa oleh Maher Zain. 

“Sekarang sampai masa untuk pencipta lagu meneroka, bagaimana nasyid boleh meresap dalam penulisan lagu mereka,” jelasnya. 

TERUS TEROKA 

Untuk musim kedua Indie X ZAYAN, Gob mahu dapatkan kugiran atau penyanyi yang lebih dikenali supaya gelombang persilangan nasyid dengan independen ini lebih mendapat perhatian. 

Mereka juga akan membuat rakaman di Angkasa Event Space supaya lebih selesa untuk semua kugiran dan penyanyi. 

Usaha rentas genre dan lapangan sebegini sangat baik – jika dilaksana dengan jujur dan berwibawa – namun tidak ramai yang berani meneroka potensinya. 

Dahulu kita pernah ada Versus yang menggandingkan lapangan independen dengan arus perdana. 

Di luar negara ada projek Punk Goes Pop. Indie X ZAYAN akan menjadi legasi jika mereka kekal berwibawa. Lapangan independen dan alternatif ada budaya dan semangatnya. 

Menjadi terbuka kepada lapangan lain tidak bermakna budaya dan semangat alternatif perlu dikorbankan. Itulah wibawa yang ada dan harapnya akan terus ada pada Indie X ZAYAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya