SUDAH lama sebenarnya saya menyimpan hasrat bercuti ke Bali, Indonesia. Apatah lagi dengan keadaan dunia yang dilanda pandemik, impian itu seperti samar-samar untuk terlaksana.
Namun selepas halangan ke luar negara telah dihapuskan, saya menggunakan peluang ini untuk bercuti ke destinasi yang menjadi pilihan ramai. Orang kata Bali adalah destinasi berbulan madu yang ideal.
Tetapi kali ini saya bercuti bersama teman-teman. Menikmati rasa cinta dalam versi berbeza.
Sampai sahaja di Bali, kami terus mendaftar masuk ke hotel pilihan, Hilton Bali di Nusa Dua. Melangkah masuk sahaja saya sudah terpukau dengan biru laut yang terbentang di depan mata.
Apatah lagi, angin laut memberikan rasa suam dalam diri. Panas tetapi mendamaikan. Perasaan yang sudah lama saya tidak nikmati. Al maklumlah, dua tahun lebih ‘terkurung’.
Kami terus dibawa ke bilik jenis King Executive Lagoon yang terletak di aras bawah. Menariknya, terdapat kolam renang kecil yang bersambung dengan beberapa bilik lagi di luar balkoni kami. Selepas penat beberapa jam perjalanan dari Kuala Lumpur, sudah pasti panorama ini mampu menenangkan hati.
Terdapat beberapa restoran dan bar di hotel ini untuk pilihan anda antaranya Grain Restaurant, The Shore dan The Breeze. Jadi, sesuailah untuk sesiapa yang mahu menghabiskan lebih banyak masa di hotel.
Pada waktu malam, kami memilih untuk makan malam di The Shore Restaurant. Sesuai dengan namanya, restoran ini terletak betul-betul menghadap pantai.
Dengan bertemankan lampu malap dan lilin di atas meja, kami amat menikmati makan malam yang begitu enak dengan deruan angin menyapa tubuh. Sudah lama rasanya tidak merasa suasana romantik sebegitu.
DEKORASI, KONSEP UNIK
Kami juga berkesempatan berjalan-jalan di sekitar hotel yang boleh dikatakan agak besar ini. Umum mengetahui, Bali memang terkenal dengan ukiran seni yang unik di setiap bangunannya.
Hilton Bali juga tidak terkecuali menampilkan pelbagai ukiran halus yang menarik sebagai hiasan dinding, selain angkul-angkul iaitu pintu gerbang yang sinonim dengan tradisi Bali.
Di Hilton Bali, anda boleh melihat banyak angkul-angkul di setiap pintunya dan paling menarik, angkul-angkul berwarna putih jernih di hadapan gereja kecil di tebing menghadap lautan Hindi.
Keindahan suasana di tebing laut itu amat sesuai dijadikan lokasi perkahwinan untuk penganut Hindu dan Kristian. Khabarnya, sudah banyak perkahwinan romantis diadakan di sana.
Selain itu, yang menarik perhatian saya adalah ukiran dinding di hotel ini yang menceritakan kisah legenda Ramayana mengenai penculikan Dewi Sita oleh Rahwana raja Kerajaan Alengka yang ingin mengawininya.
Mendengar penerangannya mendatangkan rasa ingin tahu kami mengenai sejarah kuno terkenal ini. Semua ini boleh difahami dengan menonton Tarian Kecak di Uluwatu.
Bagaikan sudah menjadi kemestian, tidak lengkap kiranya melancong ke Bali tanpa menonton Tarian Kecak di Uluwatu.
Tarian tersebut yang begitu popular di kalangan warga tempatan merupakan antara tarikan utama yang wajar disaksikan.
Namun, waktu yang paling disarankan adalah ketika menjelang senja memandangkan suasana matahari terbenam dengan latar langit berwarna jingga, membangkitkan keindahan tidak tertara sambil menikmati persembahan menarik tersebut.
Selain itu, Uluwatu juga terkenal dengan keindahan pantainya. Jadi, rugi jika tidak meluangkan masa untuk melawat beberapa lokasi pantainya yang menarik.
Antaranya Tebing Karang Boma, Pantai Padang Padang, Pantai Karma Kandara, Pantai Thomas, Pantai Suluban, Pantai Nunggalan, Pantai Nyang Nyang, Pantai Bingin, Pantai Balangan,Pantai Pemutih dan Pura Luhur Uluwatu.
PANORAMA UBUD
Ubud juga antara destinasi utama yang boleh diambil kira seandainya anda berpeluang datang ke Bali.
Berbanding di Uluwatu, Ubud pula kaya dengan keindahan pepohonan terutama di kawasan bukit bukaunya yang memukau.
Memiliki kawasan sawah padi yang terletak berjajar di lereng bukit, kehijauan alam itulah yang menjadikan Ubud begitu istimewa di mata pengunjung dan pelancong yang datang untuk berlibur.
Antara lokasi yang boleh anda letak dalam senarai liburan anda jika di Ubud ialah seperti Pasar Seni, Sawah Terasering Tegalalang,Persawahan Koloni Burung Bangau Desa Petulu,Puri Saren,Alam Sari Agroturism, Bukit Campuhan, Jalan Hanoman dan Monkey Forest.
Selain itu, Pasar Sukawati, Candi Tebing Gunung Kawi, Sungai Ayung, Zen Hideway juga boleh dikunjungi di Ubud.
Dapat disimpulkan, maka benarlah apa yang dikata orang, Bali ini sememangnya antara sebuah pulau pelancongan yang terbaik di dunia.
Bagaikan satu permata berharga buat Indonesia, Bali ternyata menyimpan pelbagai khazanah keindahan alam semulajadi yang tidak pernah lelah memukau setiap mata yang melihatnya.