Mengulas 1 album, 1 EP dan 1 single pilihan: Tiga terbitan - Utusan Malaysia

Mengulas 1 album, 1 EP dan 1 single pilihan: Tiga terbitan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ego dan libido ialah masalah utama lelaki Melayu. Semua lelaki sebenarnya tapi untuk lelaki Melayu, masalahnya lebih unik. Ia seperti aib terpendam yang akan sepenuh usaha disorok dari pandangan awam tapi dilepaskan dengan jelik di hadapan kekasih, isteri atau kawan-kawan.

Ego dan libido lelaki Melayu banyak diteroka dalam filem-filem U-Wei Haji Saari seperti Kaki Bakar, Perempuan, Isteri dan … serta Jogho. Kalau tonton filem-filem ini, boleh faham apa yang saya sampaikan dalam perenggan pertama.

U-Wei meneroka ego dan libido lelaki Melayu dalam suasana dan latar kemelayuan. Berbeza dengan Iver Iver oleh Mahsuri, latar dan suasananya lebih Barat.

Ini bukan cubaan untuk meletakkan karya U-Wei dengan Mahsuri pada satu tahap yang sama. Cuma saya suka pada keberanian Gasko Ali menulis lirik seperti ini. Pada satu sudut, Gasko merapuhkan diri dengan mengizinkan pendengar masuk ke ruang ego dan libidonya – aib terpendam lelaki Melayu.

Iver Iver ialah karya terbaik Mahsuri setakat ini, menumpaskan Untuk Insan Jiwa Gelisah. Kelebihan utama lagu ini terletak pada karakter vokal dan susunannya yang gah tapi sederhana pada waktu sama.

Dream Judos

Mendengar keseluruhan EP sulung judos, saya tak ada pilihan kecuali bersetuju dengan ulasan Zhafirin Zulkifli (Gedegang) yang dari segi identiti bunyi atau sikap, kugiran dream pop ini masih bercelaru.

Namun, hey, ini EP sulung mereka. Anak pertama. Ini mungkin eksperimentasi. Mungkin takdir letak syarat: kalau judos mahu besar, perlu lalu jalan yang berantakan ini dahulu.

Lihatlah saya berbasa-basi, cuba melindungi judos dari kritikan keras terhadap kualiti dream. Tapi saya jujur, masalah terbesar dream adalah pada kecelaruannya; rencam yang mengganggu. Dan ini dosa yang boleh diampunkan untuk produk sulung sebuah kugiran.

Trek pembukanya seorang penipu. Ia buat kita fikir yang judos menyediakan sajian telinga yang berat diisi masalah masyarakat dan kerancuan pascamoden. Ada bau-bau murung.

Tapi akhirnya, lima trek seterusnya memperkenalkan kita kepada judos yang easy-listening. Tidak ada yang murung, lagu-lagu judos membawa kita meneroka emosi hanya di lapis luar (dan ini tidak salah!).

Sedar bahawa muzik mereka easy-listening itu penting buat judos supaya mereka dapat menyusun strategi seterusnya. Mereka perlu tahu siapa sasaran pasaran dan paling penting, supaya dream memberi makna penting buat karier mereka, mereka perlu lebih banyak persembahan langsung.

Untuk Kau – FLQ

Untuk sebuah terbitan pop yang pekat elemen elektronik dan tari, FLQ berjaya menjadikan Untuk Kau sebagai sebuah album yang tidak membosankan. Julat bunyi dan gaya yang diteroka dalam album ini luas, menjadikannya tidak tepu dengan bunyian hampir sama untuk semua trek.

Tidak dapat tidak, saya perlu bandingkan album solo sulung FLQ ini dengan beberapa artis dalam daerah genre yang sama. Selepas dibanding, saya fikir kekuatan utama FLQ adalah kefahamannya pada elemen muzik retro yang dibawa masuk.

Perjalanan mendengar trek demi trek dalam album ini membawa kita ke tempat-tempat yang berbeza. Ada lagu letak kita di kaki lima bandar Shibuya yang sedang hujan. Ada masa kita duduk di rooftop motel murah di Petaling Street.

Dan kerencaman yang ditawarkan FLQ ini sihat; ia pelbagai tapi diikat gaya komposisi yang sama – gaya FLQ.

Cuma, kita boleh faham dengan mudah kepada siapa kebanyakan lirik dan tajuk lagu (malah tajuk album) ini dituju. FLQ juga tidak begitu berselindung dalam temu bualnya bersama Kugigran.

Kalau Untuk Kau perlu jadi tempat FLQ muntahkan segala kemarahan dan kekesalan terhadap duo lamanya, saya okay. Yang penting, selepas muntah, jalan terus. Ambil yang jernih-jernih saja dari cerita lama dan bergerak ke hadapan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya