Mendapan tanah Jalan Tun Hamzah dibaik pulih tempoh 36 jam

Mendapan tanah Jalan Tun Hamzah dibaik pulih dalam tempoh 36 jam

MENDAPAN tanah yang berpunca daripada kebocoran paip di tepi Jalan Tun Hamzah berhampiran Taman Ozana Impian, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri memberi jaminan bahawa isu mendapan tanah yang berpunca daripada kebocoran paip di tepi Jalan Tun Hamzah berhampiran Taman Ozana Impian di sini, akan selesai dibaik pulih dalam tempoh 36 jam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, mendapan tanah seluas 25 meter persegi dengan kedalaman lima meter itu didapati berlaku kira-kira pukul 12 tengah malam tadi, yang mana telah menjejaskan bekalan air kepada 200 kediaman di fasa tiga perumahan berkenaan.

Jelasnya, laporan dikeluarkan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesahkan, ia berpunca daripada regangan paip bawah tanah sekali gus menyebabkan berlakunya tekanan air.

“Kita terpaksa menutup sementara aliran trafik sejauh 1.2 kilometer bermula pukul 2 pagi tadi kerana dikhuatiri mendatangkan risiko pada struktur jalan raya, selain membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.

“Kerja-kerja pembaikan termasuk penyambungan paip sedang dilakukan SAMB dibantu JKR supaya ia kukuh.

“Kita mahu kerja baik pulih itu dilakukan dengan lebih teliti selain mengambil sedikit masa kerana kita tidak mahu ambil risiko melaksanakannya dengan segera, namun akhirnya perkara sama berulang lagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di lokasi kejadian.

Terdahulu, JKR Melaka Tengah memaklumkan, penutupan sementara Jalan Tun Hamzah menghala ke Bukit Katil untuk kerja-kerja pembaikan paip sesalur utama bersaiz 400 millimeter jenis mild steel.

Katanya, tujuan penutupan tersebut bagi mengelakkan risiko runtuhan pada struktur jalan raya semasa kerja pembaikan dilaksanakan.

Tambah Hameed Mytheen, laluan yang ditutup adalah dari simpang lampu isyarat Jalan Gapam menghala ke Bukit Katil, bagaimanapun orang ramai boleh menggunakan simpang lampu isyarat di Sekolah Sains Muzaffar Syah (Mozac) melalui Kampung Tun Razak untuk ke Bukit Katil.

“Aliran trafik dijangka dibuka semula kepada orang awam selewat-lewatnya pukul 12 tengah malam esok,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya