Menang berturut-turut, Penang FC kekal merendah diri - Utusan Malaysia

Menang berturut-turut, Penang FC kekal merendah diri

MANZOOR AZWIRA ABDUL WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Meskipun berjaya meraih sembilan mata dalam tiga aksi terakhir liga termasuk ketika menundukkan Kuching City FC 2-1 malam tadi, pengendali sementara Penang FC, Manzoor Azwira Abdul Wahid kekal merendah diri dan enggan meletakkan harapan tinggi terhadap skuad Harimau Kumbang.

Manzoor Azwira berkata, beliau bersyukur kerana anak-anak buahnya berjaya menterjemahkan peluang yang terhidang kepada jaringan sekali gus menggenggam tiga mata berharga.

“Kalau boleh, kita nak cuba dapatkan mata yang semaksimum mungkin dalam saingan Liga Super kali ini. Sepanjang bulan ini, kita cuma kalah kepada Kedah (5 April). Itu pun ‘away’ (di tempat lawan). Saya bersyukur dan berpuas hati dengan pemain-pemain saya.

“Kita tak pernah rasa kita ini terbaik dan masih banyak yang perlu diperbaiki. Jadi, sampai ke hujung (saingan) liga pun saya akan kata Penang FC adalah pasukan yang baharu dan sentiasa perlu diperbaiki,” katanya di sini hari ini.

Dalam perlawanan malam tadi, Kuching City terlebih dahulu berada di depan menerusi Abu Kamara pada minit ke-32 sebelum Penang FC bangkit dengan dua gol melalui Mohamad Khairul Akmal Rokisham dan Soony Saad, masing-masing pada minit ke-45 dan 51 perlawanan.

Sementara itu, Manzoor Azwira turut menzahirkan rasa simpati terhadap nasib dua pemain Penang FC iaitu Muhamad Azmeer Aris Nor Rashid dan Mohammad Amer Azahar yang terlibat dengan kemalangan ketika dalam perjalanan ke stadium petang semalam untuk perlawanan menentang Kuching City.

“Saya rasa sedikit bersalah apatah lagi ia berlaku pada hari perlawanan kerana salah seorang pemain itu (Muhamad Azmeer Aris) adalah pemain harapan kita. Jadi, sedikit sebanyak (persiapan pasukan) terganggu.

“Apapun, saya harap kedua-dua pemain ini tidak mengalami kecederaan yang serius,” kata beliau.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang di Balik Pulau itu, kereta yang dipandu oleh Muhamad Azmeer Aris dikatakan dirempuh sebuah lori yang sedang mengundur akibat terbakar hingga menyebabkan kemalangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya