Memekik sejarah, membisik muasal - Utusan Malaysia

Memekik sejarah, membisik muasal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APA kesan kewujudan sebuah rumah terhadap perkembangan muzik alternatif?

Ini persoalan yang pelik. Saya pun tak pernah terfikir tetapi waktu membaca Radhio Radhikal: Seksa, Dada dan Rock N Roll, saya tertarik dengan kisah sebuah banglo yang menjadi tempat lepak anggota OAG dan rakan-rakan.

Begitu juga apabila menonton dokumentari PEKIK, kisah fat 121-C di Brickfields yang diceritakan Aru Peruzza sangat memikat.

Fathullah Luqman berkata, di flat itu lahirnya Sil Khannaz, Silent Death, Koffin Kanser dan Republic of Brickfields. Ia sebuah binaan yang historikal kerana isinya.

Kalau dindingnya boleh menulis, berjilid-jilid buku sejarah muzik alternatif Malaysia boleh ditulisnya.

Ini hanya sebahagian daripada kisah menarik yang didokumentasi dalam PEKIK.

MENCARI AKAR

Dokumentari seperti PEKIK penting untuk kita faham asal-usul gerakan dan semangat muzik alternatif di Malaysia.

Pastilah ia tidak lengkap. Kalau mahu mula, kita kena gali sampai ke dekad 60-an. Perlu ada satu dokumentari khas tentang gerakan awal muzik metal yang lebih awal memberontak dan radikal.

Namun, PEKIK boleh jadi rujukan dan pencontoh untuk dokumentari yang seterusnya.

Maklumat dan anekdot selama ini memang ada tapi ia bersepah-sepah. Dokumentari seperti PEKIK yang mengumpul dan menyusunnya supaya mudah dicapai dan dihadam.

Lebih baik lagi, PEKIK mencari sumber yang primer. Nama-nama seperti Aru, Fathul, Rom, Radhi, Azmyl Yunor, Francis Wolf dan Loque adalah orang yang berada di zaman itu sendiri. Mereka sumber hidup yang berautoriti.

Saya tertanya juga, mengapa dalam segmen media tidak ada Joe Kidd? Atau ketika bercakap tentang sellout, kenapa tidak temu ramah Paul Moss atau Ahmad Izham Omar sebagai orang penting Positive Tone?

Apa-apa usaha mendokumentasi pasti akan ada batasnya dan ia boleh diterima. Yang penting, apa yang dikongsi dalam dokumentari ini cukup untuk kita faham perkembangan muzik alternatif negara.

Ini usaha untuk mencari akar muzik alternatif Malaysia. PEKIK sudah tunjuk lokasi untuk kita gali, malah membantu menggali beberapa tapak. Tinggal kita nak teruskan galian.

MARUAH ALTERNATIF

Saya perlu berterima kasih kepada Fathul yang memetik kenangannya menonton persembahan kugiran Singapura, Opposition Party.

Kata Fathul, apabila kugiran itu menolak permintaan penonton untuk memainkan saduran lagu-lagu kugiran Barat, kata-kata mereka meresap dalam jiwa pemuziknya.

“SORRY, WE DON’T PLAY COVERS.”

Saya bukan pemuzik tapi saya boleh faham maruah pemuzik yang disandarkan pada kata-kata ini. Hal sama boleh diaplikasi dalam kembara saya sebagai penulis.

Jika kata-kata ini yang mendorong Fathul menulis lagu-lagunya untuk Infectious Maggots, Spiral Kinetic Circus atau projek solonya, Fathulistiwa Soundscape, kita perlu berterima kasih pada Francis dari Opposition Party.

Mempunyai lagu sendiri ialah maruah kugiran alternatif dahulu. Ia juga menjadi tanda kesediaan sesebuah kugiran untuk tersenarai dalam flyers gig, seperti yang diimbas Dead Mushroom.

Tanpa maruah ini, mungkin kita tak dapat menikmati 60’s TV dari OAG atau The Chemistry (Between Us) oleh Butterfingers.

PANDANG BELAKANG

Kalau kenderaan tak ada cermin sisi, kita boleh disaman polis.

Cermin sisi penting untuk kita tahu apa yang di belakang; menjadi panduan waktu mahu mengundur atau membelok.

Begitulah sejarah dan muasal. Ia perlu sebagai panduan. Namun, kalau kita asyik memandang cermin sisi, tak ketahuan juga pemanduannya. Macam mana mahu ke depan.

Mencari keseimbangan antara imbasan masa lalu dengan kemajuan ke hadapan itu penting. Jangan kita abaikan terus sejarah dan muasal, kelak mudah tersesat atau terlanggar tunggul.

Jangan juga kita tenggelam dalam nostalgia dan masa lampau, takut terbuta dan tak mampu nak melangkah ke mana-mana.

Tahniah buat pasukan penerbitan PEKIK, terutamanya pengarah dan penerbit, Fareeq Alias. Semoga usaha ini dapat menginspirasi lebih banyak kerja dokumentasi muzik alternatif di Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya