SEPANG: Kerajaan Melaka muncul sebagai satu-satunya negeri menghantar pasukan misi kemanusiaan ke Turkiye dan Syria yang dilanda gempa dahsyat pada Februari lepas.
Malah Exconya sendiri, Dr. Muhamad Akmal Saleh turut terlibat melawat dua negara itu untuk menyerahkan sumbangan rakyat dan korporat Melaka berjumlah RM400,000 melalui Tabung Bantuan Kemanusiaan dilancarkan Kerajaan Melaka bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Briged Negaraku.
Gempa terburuk dalam sejarah Turkiye selepas 1939 itu meletus pada 6 Februari lalu dengan berkekuatan 7.8 skala Magnitud berpusat di Gaziantep, selatan negara berkenaan mengakibatkan lebih 50,000 maut di Turkiye selain hampir 8,500 lagi terbunuh di negara jirannya, Syria termasuk kira-kira 107,204 mangsa cedera.
Muhamad Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO Malaysia berkata, seramai sembilan sukarelawan termasuk doktor dan psikiatri yang akan berada di sana sehingga hujung bulan ini.
Katanya, misi ini mendapat kerjasama dengan sebuah NGO kemanusiaan terbesar di Turkiye yang dikenali Insan Hak ve Hurriyetleri Insani Yardim Vakfi (IHH).
Di negara tersebut, mereka akan menyaksikan penyerahan tujuh buah rumah kabin yang lengkap pelbagai fasiliti serta stok makanan dan ubat-ubatan untuk mangsa di Gaziantep, manakala di Syria pula, sebanyak 200 kotak makanan, roti dan peralatan tulis untuk 1,000 orang kanak-kanak diserahkan.
Walau bagaimanapun ujarnya, penyerahan bantuan di Syria kemungkinan besar dijangka berdepan kesukaran susulan perang saudara meletus semula di negara tersebut kelmarin.
“Saya difahamkan daripada pihak IHH, sempadan di Syria terpaksa ditutup kerana risiko keselamatan kepada petugas kemanusiaan namun kita akan cuba sampaikan,” tegasnya sebelum berlepas ke Turkiye di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Isnin lalu. – UTUSAN