PETALING JAYA: Muslim Care Malaysia (MCM) dan Pertubuhan Khidmat Ummah (Khidmat Ummah) berlepas ke Syria semalam bagi menjalankan Misi Bantuan Kemanusiaan Syria dan Turkiye 3.0.
Misi itu disertai pendakwah terkenal, Wadi Annuar Ayub yang juga Pengerusi Khidmat Ummah.
Katanya, misi tersebut adalah yang pertama kali disertai Khidmat Ummah dengan kerjasama MCM.
“Kami (Khidmat Ummah) umpama budak baru belajar dan mohon tunjuk ajar daripada sahabat-sahabat MCM yang amat berpengalaman dalam misi kemanusiaan di luar negara.
“Semoga Allah permudahkan gerak kerja kami dan dapat belajar sesuatu yang bermanfaat untuk umat Islam daripada misi ini,” katanya yang juga bekas penuntut Institut Fatah Islami di Damsyik, Syria dan menamatkan pengajian pada 2007.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/syria-4-600x450.jpg)
PRESIDEN MCM, Zulkifli Wahijan (tiga dari kiri) bersama lima peserta Misi Bantuan Kemanusiaan Syria dan Turkiye 3.0 .
Wadi Annuar berkata, belau terpanggil menyertai misi ke Syria dan Turkiye bersama MCM selepas dihubungi beberapa guru dan rakan sepengajian yang meminta bantuan akibat kesukaran hidup selepas 12 tahun Syria terjebak dalam kancah peperangan.
Sementara itu, ketua misi, Ustaz Nazmi berkata, Misi Bantuan Kemanusiaan Syria dan Turkiye 3.0 adalah kesinambungan daripada dua misi MCM sebelum ini selepas gempa bumi dahsyat melanda dua negara itu pada 6 Februari lalu.
“Kumpulan misi pertama dihantar pada 8 Februari lalu diikuti kumpulan kedua pada 21 Februari lepas. Bezanya misi kali ini turut diisi program berkaitan Ramadan iaitu tajaan berbuka puasa dan sumbangan bakul makanan kepada asnaf.
“Selain itu kami akan menyampaikan sumbangan untuk membina beberapa unit rumah yang musnah akibat gempa bumi dahsyat bulan lepas,” katanya.
Beliau berkata, semua program tertumpu di tiga lokasi di utara Syria iaitu Jindires, Idlib dan Afrin serta sekitar Reyhanli di Turki.
Menurutnya, sejumlah RM300,000 hasil sumbangan rakyat Malaysia diperuntukkan untuk pelaksanaan semua program itu.
Sumbangan daripada orang ramai masih dialu-alukan dan boleh disalurkan ke akaun Maybank Muslim Care Malaysia 564490413882 (rujukan: Syria dan Turkiye). Hantarkan slip pindahan wang kepada Ustaz Nazmi (019-2726567). – UTUSAN