Masjid terapung mercu tanda baharu Bagan Datuk - Utusan Malaysia

Masjid terapung mercu tanda baharu Bagan Datuk

AHMAD Zahid Hamidi (tiga dari kanan) mengiringi Raja Jaafar Raja Muda Musa pada majlis berbuka puasa di Masjid Tuminah Hamidi di Bagan Datuk semalam. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa berkenan berbuka puasa di Masjid Tuminah Hamidi, juga dikenali masjid terapung yang menjadi mercu tanda baharu di Bagan Datuk semalam.

Ketibaan baginda disambut oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Majlis dimulakan dengan bacaan al-Quran, tahlil dan doa selamat sebelum berbuka puasa, kemudian baginda turut berkenan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah bersama hadirin.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah serta Ahli Dewan Undangan Negeri Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Masjid Tuminah Hamidi yang mampu menampung 5,000 jemaah pada satu-satu masa, mula dibina pada 2017 dengan kos kira-kira RM53 juta menggunakan dana Yayasan Al-Falah, yayasan milik keluarga Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid menamakannya sebagai Masjid Tuminah Hamidi sempena nama ibu bapanya iaitu Allahyarham Raden Hamidi Abdul Fatah dan Allahyarham Tuminah Abdul Jalil.

Pada 7 April lalu, Jabatan Mufti Negeri Perak mengisytiharkan sempadan kariah dan kebenaran diadakan solat Jumaat di masjid tersebut.

Pengisytiharan itu disempurnakan oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, Prof. Madya Dr. Ahmad Husni Hasan, serentak itu azan pertama solat Jumaat telah dikumandangkan pada hari tersebut.

Masjid yang terletak di pekan Bagan Datuk yang menjadi daya tarikan baharu daerah tersebut, turut memiliki dataran terbuka dan dewan serbaguna yang boleh diadakan pelbagai acara, selain bilik pameran dan persidangan dua tingkat.

Difahamkan, ia menjadi masjid terapung keempat yang dibina di Perak selepas Masjid An-Nur Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Tronoh, Masjid al-Badr atau dikenali juga sebagai Masjid Seribu Salawat di Pulau Pangkor dan Masjid Kampung Telaga Nenas, Ayer Tawar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN