GEORGE TOWN: Sejak kira-kira lebih 200 tahun lalu, Masjid Kapitan Keling di sini tidak pernah terlepas mengimarahkan malam 27 Ramadan dengan menyediakan hidangan nasi di dalam talam kepada para jemaah masjid berkenaan.
Semalam, sempena sekali lagi malam 27 Ramadan, lebih 1,000 jemaah dihidangkan dengan nasi di dalam talam selepas selesai solat tarawih di masjid berkenaan.
Setiausaha Masjid Kapitan Keling, Mohamed Rizdwan Abdul Ghafoor Khan berkata, makan di dalam talam itu merupakan tradisi Ramadan yang wujud sejak pembinaan masjid berkenaan di negeri ini kira-kira 200 tahun yang lalu.
”Setiap tahun pengurusan masjid sentiasa menghidupkan tradisi istimewa ini kerana makan beramai-ramai ada berkatnya terutama pada malam 27 Ramadan.
”Ia juga salah satu sunah Rasulullah SAW, jadi kita hidupkan sunah nabi di sini dengan menjamu jemaah makan di dalam talam,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, sebelum ini ketika Covid-19 tradisi makan di dalam talam tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana terdapat kekangan ketika itu.
”Selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) tamat dan situasi Covid-19 reda, kita hidupkan kembali tradisi ini sehinggalah sekarang.
”Semalam suasana di masjid ini meriah dan dipenuhi dengan jemaah tanpa mengira latar belakang kerana kesemuanya mahu mengambil keberkatan Ramadan lebih-lebih lagi pada malam ke-27,” katanya.
Tambahnya, keunikan tradisi makan nasi di dalam talam itu turut menarik perhatian pelancong asing untuk datang menyambut Ramadan di Masjid Kapitan Keling.
”Terdapat pasangan suami isteri dari Itali yang datang ke Pulau Pinang bagi menyambut Ramadan dan mereka akan bersama-sama mengimarahkan masjid sepanjang Ramadan.
”Mereka juga turut serta menikmati hidangan nasi di dalam talam kerana tidak menjumpai tradisi ini pada masjid negara lain yang sering mereka lawati,” katanya.
Dalam pada itu, tambah beliau, makanan-makanan tersebut turut diedarkan kepada pihak bomba serta balai polis berdekatan dan pihak-pihak lain ketika waktu berbuka puasa supaya mereka bersama-sama dapat merasai keenakan juadah tersebut. – UTUSAN