PETALING JAYA: Penyanyi legenda, Rahim Maarof dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh (HSB) semalam bukan kerana angin ahmar sebaliknya tekanan darah tinggi yang naik mendadak.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, sahabat penyanyi itu yang juga pengurus artis, Aalan Ahmad berkata, keadaan Rahim ketika ini belum stabil dan masih dalam pemantauan rapi doktor.
“Dia bukan diserang angin ahmar, tetapi tekanan darahnya tinggi. Doktor juga ada mengeluarkan cecair di bahagian otak Jumaat lalu.
“Saya ada melawat dia semalam. Keadaan dia masih belum stabil. Dia ada cuba bercakap tetapi tidak dapat difahami sangat. Keadaan dia ketika itu tidak mengizinkan.
“Tetapi semuanya bergantung kepada keadaannnya. Dia masih di bawah pemantauan doktor di ICU. kalau sudah stabil, baru dia akan dipindahkan ke wad biasa,” ujarnya.
Semalam, penyanyi itu dilaporkan dimasukkan ke ICU selepas menjalani pembedahan dipercayai kerana angin ahmar.
Bagaimanapun, anaknya, Jasmin Rayhan menerusi sebuah hantaran di Instagram hari ini menafikan perkara tersebut dan meminta agar tiada spekulasi tidak benar tersebar.
“Ayah saya dirawat di Hospital Sungai Buloh sejak Khamis lalu disebabkan darah tinggi, bukan strok. Dia juga juga tidak koma seperti didakwa.
“Bagaimanapun, saya tidak menyalahkan ahli keluarga yang memberikan kenyataan kepada media kerana kami sendiri pun masih belum mendapat maklumat terkini daripada doktor,” tulisnya.