KUALA TERENGGANU: Masalah longgokan sampah yang sering berlaku di Terengganu setiap kali musim perayaan Aidilfitri dijamin tidak akan berulang lagi pada tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beberapa perancangan dan strategi telah dilakukan oleh pihak terlibat untuk memastikan pengurusan sampah berjalan lancar kali ini.
“Kita jangka sampah akan meningkat tiga kali ganda berbanding hari biasa berikutan kepulangan anak perantau ke kampung halaman masing-masing.
“Saya sudah sebut dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri baru-baru ini, supaya Exco terlibat (Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak) mengambil langkah yang perlu dalam menghadapi potensi peningkatan sampah seperti tahun-tahun lalu.
“Datuk Dr. Alias telah maklumkan beberapa tindakan sudah dirangka dan akan dibuat bagi mengatasi masalah ini, kita harap tahun ini lebih berjaya dalam mengawal sampah (pada musim hari raya),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Pelan Tindakan Khas Muara Kuala Terengganu City Centre (KTCC) (Garis Panduan Reka Bentuk Bandar dan Landskap) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Sementara itu, Dr. Alias ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya komited untuk menyelesaikan 100 peratus masalah sampah yang sering menjadi isu setiap kali musim perayaan tiba.
Menurutnya, terdapat tiga zon kawasan pembersihan yang berdepan dengan masalah pengurusan sampah berikutan kontraktor dilantik tidak kompeten dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan.
“Susulan itu, kontraktor terlibat sudah ditamatkan kontrak dan pengurusan sampah di tiga zon tersebut kini diambil alih semula oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Majlis Daerah Marang (MDM),” ujarnya. – UTUSAN